UNM, Hanai Jiwa Ibu bekerjasama bangunkan aplikasi digital penjagaan kesihatan untuk wanita terpinggir | DagangNews Skip to main content

UNM, Hanai Jiwa Ibu bekerjasama bangunkan aplikasi digital penjagaan kesihatan untuk wanita terpinggir

Dr Joanne Lim Bee Yin (kiri) dan Shamala Hinrichsen menunjukkan aplikasi Jiwa Ibu yang bertujuan menambah baik penjagaan kesihatan wanita terpinggir di seluruh negara. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Ogos - University of Nottingham Malaysia (UNM) dan Hanai Jiwa Ibu Sdn Bhd (Hanai Jiwa Ibu), sebuah perusahaan sosial yang memberi tumpuan kepada keperluan penjagaan kesihatan wanita, telah berganding bahu untuk membangunkan sebuah aplikasi bagi menambah baik penjagaan kesihatan wanita terpinggir di seluruh negara. 

 

Dalam tempoh tiga tahun lepas, UNM dan Hanai Jiwa Ibu, bersama St George’s University London, Universiti Malaya dan Universiti Malaysia Sabah telah membangunkan aplikasi Jiwa Ibu, untuk menyediakan maklumat setempat berkenaan kesihatan mental, wanita, ibu dan kanak-kanak. 

 

UNM dan Hanai Jiwa Ibu baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sebelum melancarkan aplikasi kepada orang ramai secara rasminya. 

 

Naib Provos Penyelidikan dan Pertukaran Ilmu (RKE), Prof Andy Chan Tak Yee, mewakili UNM, manakala Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hanai Jiwa Ibu, Shamala Hinrichsen menandatangani bagi pihak Hanai Jiwa Ibu. Profesor Madya Pusat Pengajian Media, Bahasa dan Kebudayaan UNM, Dr Joanne Lim Bee Yin serta Ketua Pegawai Operasi Hanai Jiwa Ibu, Viviane Sobral turut hadir di majlis tandatangan tersebut. 

 

Kerjasama itu membolehkan UNM dan Hanai Jiwa Ibu untuk mendapatkan hak cipta dan tanda dagang aplikasi, di samping menyusun rancangan untuk berganding bahu dengan Selangkah, aplikasi penjagaan kesihatan Selangor bagi menggabungkan Jiwa Ibu ke dalam sistem.

 

Dalam pada itu, Shamala berkata, sejak sekian lama mereka mahu beralih tumpuan kepada masyarakat luar bandar dan golongan terpinggir di Malaysia. 

 

"Sejak idea tersebut diilhamkan, pasukan kami yang terdiri daripada lapan wanita berdedikasi telah menubuhkan kumpulan membabitkan para doktor, jururawat, bidan, jururawat komuniti dan wanita biasa untuk menentukan apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan tahap kesihatan wanita dan ibu yang ideal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

unm

 

 

UNM telah mengetuai kajian tentang tahap penerimaan Jiwa Ibu, serta kesan dan keberkesanan terhadap wanita dalam masyarakat yang terbabit. UNM juga memberikan nasihat tentang kandungan aplikasi, dan faktor yang mempengaruhi antara muka pengguna (UI) dan pengalaman pengguna (UX). 

 

Dr Joanne pula berkata, aplikasi Jiwa Ibu dijangka membawa manfaat kepada 15 juta wanita di seluruh Malaysia. 

 

"Pada peringkat awal ujian alfa, aplikasi ini dimuat turun oleh 3,000 wanita, dengan 75% kembali menggunakan aplikasi dalam masa sebulan selepas dimuat turun. Berasaskan tinjau selidik dan temu bual yang kami jalankan, 95% responden juga berkongsi bahawa mereka mahukan aplikasi tersebut,” katanya.

 

 

unm

 

 

Sebelum pelancaran, pasukan ini telah mengembara ke beberapa tempat di Sabah dan Semenanjung untuk memperkenalkan Jiwa Ibu kepada penduduk tempatan dan melatih Juara Kesihatan Komuniti (CHC) setempat untuk mentadbir aplikasi di dalam masyarakat masing-masing. 

 

Jiwa Ibu akan memuatkan direktori bagi doktor dan pusat penjagaan kesihatan di kawasan berhampiran dan sumber penting lain, seperti kes menentang keganasan terhadap wanita. Pengguna juga boleh menyimpan dan menjejak rekod kesihatan mereka sendiri dan mendapatkan bantuan perubatan menerusi aplikasi. 

 

Dalam usaha untuk menjadikannya lebih mudah digunakan, aplikasi itu akan disediakan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan bahasa ibunda lain. - DagangNews.com