Untung bersih 1QFY24 Affin Bank susut kepada RM110.2 juta kesan margin faedah bersih lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 1QFY24 Affin Bank susut kepada RM110.2 juta kesan margin faedah bersih lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mei - Untung bersih Affin Bank Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) susut 26% kepada RM110.21 juta berbanding RM148.98 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya disebabkan margin faedah bersih yang lebih rendah.

 

Hasil kumpulan itu bagaimanapun meningkat kepada RM504.54 juta pada suku berkenaan berbanding RM494.29 juta pada 1QFY23.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, tekanan kompetitif yang berpanjangan terhadap penentuan harga deposit kekal sebagai cabaran tetapi aplikasi perbankan mudah alih baharu bank itu telah memperoleh lebih RM400 juta deposit CASA (Akaun Semasa dan Akaun Simpanan) sejak dilancarkan pada Oktober 2023.

 

Katanya, perniagaan margin tinggi bank itu juga menunjukkan pertumbuhan, terutamanya dalam segmen pembiayaan peribadi, yang berkembang 27.1% tahun ke tahun kepada RM6.1 bilion manakala segmen kad kredit meningkat 23.4% tahun ke tahun kepada RM461.5 juta.

 

Beliau berkata, bank itu kekal berhati-hati terhadap persekitaran ekonomi yang tidak stabil akibat ketidaktentuan geopolitik di Eropah dan Asia Barat, ditambah dengan permintaan perdagangan yang lemah dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

 

wanraz
Datuk Wan Razly Abdullah

 

“Memandangkan kelemahan ekonomi global, kami telah meningkatkan piawaian taja amin kami dengan menjangkakan potensi kesan ke atas ekonomi Malaysia.

 

"Kedudukan modal kami dan peruntukan rizab kerugian pinjaman kekal tinggi untuk melindungi bank dan pemegang sahamnya," katanya alam atu kenyataan, hari ini.

 

Wan Razly berkata, bank itu sedang menunggu perkembangan mengenai perubahan pegangan saham antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd dengan kerajaan negeri Sarawak.

 

Pada suku tersebut, pendapatan faedah bersih (NII) Affin Bank ialah RM193.7 juta, peningkatan 9.2% suku tahun ke suku tahunberbanding suku kewangan sebelumnya manakala pendapatan bukan faedah turun 9.5% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM142.5 juta.

 

Perbelanjaan mengurus berkurangan sedikit kepada RM378.9 juta daripada RM400.4 juta pada suku sebelumnya, manakala nisbah kos kepada pendapatan ialah 75.11%, meningkat daripada 71.57% pada suku sebelumnya.

 

Jumlah pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan pada suku pertama meningkat 11.2% tahun ke tahun kepada RM68 bilion manakala deposit CASA berjumlah RM17.9 bilion dengan nisbah CASA sebanyak 24.88%.

 

Deposit pelanggan kumpulan meningkat 8.9% tahun ke tahun kepada RM71.8 bilion pada suku pertama 2024.- DagangNews.com