KUALA LUMPUR 20 Mei - Untung bersih Kinergy Advancement Berhad (KAB) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) melonjak 98.6% kepada RM5.12 juta berbanding RM2.58 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong perkembanan positif segmen rumusan tenaga lestari (SES).
Kumpulan itu berkata, hasil kumpulan bagi suku itu bagaimanapun mencatatkan penyusutan kecil kepada RM42.04 berbanding RM42.76 juta pada suku sama tahun lalu.
Katanya, segmen SES, menunjukkan prestasi luar biasa, menjana pendapatan sebanyak RM19.86 juta melonjak lebih tiga kali ganda berbanding tahun lalu dan peningkatan itu boleh dikaitkan dengan sumbangan daripada projek dan pengambilalihan baharu.
"Segmen SES sahaja menghasilkan keuntungan operasi sebanyak RM5.94 juta berbanding RM2.68 juta pada tahun sebelumnya, keuntungan yang tinggi dan potensi kepakaran KAB yang menjanjikan dalam membangunkan rumusan serta projek tenaga boleh diperbaharui (RE).
"Dengan setiap suku tahun yang berlalu, KAB telah mengukuhkan kedudukan pasarannya, mengukuhkan dirinya sebagai peneraju terkemuka dalam industri tenaga dan menetapkan asas yang kukuh untuk kejayaan yang berterusan pada 2024," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas mengenai prospek kumpulan, Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, pihaknya optimis terhadap prospek jangka panjangnya dengan kebanyakannya didorong segmen SES.
Beliau berkata, kumpulan itu menggariskan kejayaan penyepaduan projek yang menguntungkan dan usaha niaga baharu dalam sektor itu.
"Fokus strategik kami adalah kepada segmen tenaga dengan rumusan tenaga bersih (CE), RE dan cekap tenaga (EE) sejajar dengan pengembangan pengiktirafan keupayaan teknikal kami.
"Pengiktirafan yang ketara ini menyemarakkan keyakinan kami untuk prospek positif pada FY24.
"Kami berada pada kedudukan yang strategik untuk memenuhi dan melebihi keperluan tenaga pelanggan yang semakin berkembang. Penyelesaian inovatif kami menawarkan potensi pertumbuhan ketara bagi membantu pelanggan mengalihkan proses operasi mereka dengan rumusan tenaga yang mampan," katanya. - DagangNews.com