Untung bersih 2020 KLCCP Stapled jatuh RM471.0 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 2020 KLCCP Stapled jatuh RM471.0 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Mac - Impak penularan COVID-19 terutamanya dalam segmen runcit dan hotel oleh KLCCP Stapled Group ‘mengheret’ turun keuntungan bersihnya pada tahun kewangan 2020 (FY20) kepada RM474.7 juta, menyusut RM471.0 juta daripada RM945.7 juta pada FY19.

 

Menurut laporan prestasi kewangan tahunan kumpulan, hasil KLCCP Stapled menguncup 12.9%, daripada RM1.4 bilion kepada RM1.2 bilion ekoran pelaksanaan pelbagai perintah kawalan pergerakan pada tahun kewangan lalu. 

 

Jelas kumpulan itu, Suria KLCC terutamanya, menyokong penyewa runcit dengan pelbagai bantuan sewaan bermula suku kedua hingga suku keempat 2020 (2Q20 - 4Q20), merangkumi kira-kira 23% daripada hasil pusat beli belah pada FY20. 

 

“Prestasi Mandarin Hotel Kuala Lumpur juga terjejas teruk dengan penguncupan mendadak dalam hasil kepada RM52.9 juta daripada RM177.5 juta pada 2019, susulan penurunan drastik dalam jumlah perniagaan akibat pembatalan tempahan bilik, majlis tertangguh dengan sempadan antarabangsa ditutup. 

 

“Segmen pejabat kekal stabil, menyumbang 48% kepada jumlah hasil kumpulan. Pada tahun kewangan itu, segmen berkenaan mencatatkan penurunan margin dalam hasil ekoran pengubahsuaian perakaunan yang mengambil kira lanjutan perjanjian Pajakan Bersih Tiga Kali (TNL) bagi Menara Berkembar Petronas dan Menara 3 Petronas untuk tempoh 15 tahun lagi,” jelas KLCCP Stapled. 

 

Bagaimanapun, kumpulan itu tetap mengisytiharkan 30 sen bagi sekuriti terjamin, dengan pembayaran dividen setahun penuh sebanyak RM541.6 juta.

 

Untuk rekod, hasil KLCCP Stapled dipacu oleh kekuatan aset segmen pejabat, yang disokong oleh kadar penghunian penuh selain pajakan bangunan pejabatnya yang berjangka panjang. 

 

Ketika kebanyakan sektor ekonomi terjejas teruk oleh pandemik COVID-19, hasil bagi segmen pejabat KLCCP Stapled kekal stabil, bernilai RM590.3 juta pada FY20.

 

Bagi prospek segmen itu, KLCCP Stapled terus berusaha mempertahankan penyewa yang berkualiti untuk bangunan pejabat dan mewujudkan pengalaman yang akan memudahkan kerjasama antara pekerja dan syarikat buat penyewa mereka.

 

Sementara itu, ditambah dengan pemahaman mendalam tentang pasaran runcit global dan kerjasama yang kuat dengan peruncitnya, KLCCP Stapled percaya Suria KLCC akan muncul lebih kuat daripada cabaran 2020. - DagangNews.com