Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Jan - Senheng New Retail Berhad (Senheng) melaporkan peningkatan 21.2% dalam keuntungan bersih kepada RM34.1 juta untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2021 (9MFY21) berbanding RM28.1 juta sebelumnya (9MFY20).
Pengerusi Senheng, Lim Kim Heng berkata, prestasi memberangsangkan itu didorong oleh jualan yang lebih tinggi yang dijana daripada pengembangan dan peningkatan kedai runcit pengalaman yang berterusan.
Katanya, walaupun 58.2% dan 21.9% daripada kedai Kumpulan telah ditutup pada Julai dan Ogos 2021 untuk mematuhi sekatan COVID-19, hasil kumpulan telah meningkat 12.3% kepada RM987.7 juta pada 9MFY21 daripada RM879.6 juta pada 9MFY20, dengan peningkatan bilangan dan purata jualan bulanan yang lebih tinggi di kedai "Grand Senheng".
"Pertumbuhan dua digit di tengah-tengah penutupan sementara kedai-kedai kami membuktikan ketangkasan dan keberkesanan Model Runcit Baharu Senheng yang lancar, di mana rangkaian kedai runcit kami di seluruh negara dilengkapi dengan kemudahan e-dagang dan aplikasi mudah alih.
“Kami berhasrat untuk meneruskan strategi serampang dua mata ini untuk memperkaya pengalaman pelanggan dalam kedai dan memanfaatkan pemasaran digital untuk menyediakan pertemuan runcit yang sihat.
"Untuk tujuan ini, kami membuka dan/atau menaik taraf rangkaian kedai runcit kami ke dalam format yang lebih besar dan lebih menarik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Syarikat itu telah memulakan memulakan pelbagai transformasi sejak penubuhannya, termasuk transformasi digitalnya pada 2015 untuk meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan.
Baru-baru ini Senheng telah memulakan elaksanaan tawaran awam permulaan melibatkan terbitan awam 250.0 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 139.5 juta saham sedia ada pada harga terbitan RM1.07 sesaham.
Daripada jumlah RM267.5 juta hasil yang akan dikumpul daripada terbitan awam, RM160.5 juta akan digunakan untuk menubuhkan kedai baharu serta menaik taraf kedai sedia ada kepada kedai konsep yang lebih besar dan dipertingkatkan.
Kumpulan itu menyasarkan untuk menaik taraf atau menubuhkan 61 kedai baharu dan sedia ada dari 2022 hingga 2024 untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggannya. -DagangNews.com