Untung bersih AmBank meningkat 32.2% kepada RM500.2 juta pada 1QFY25 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih AmBank meningkat 32.2% kepada RM500.2 juta pada 1QFY25

Untung bersih AmBank suku pertama 2025 naik 32.2%. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 20 Ogos - AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) mencatatkan untung bersih RM500.2 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25), meningkat 32.2% berbanding RM378.37 juta suku sama tahun lalu.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, AMMB berkata, pendapatan suku tahun berakhir 30 Jun 2024 itu berjumlah RM1.18 bilion, susut berbanding RM1.2 bilion pada 1QFY24.

 

Pendapatan setiap saham pula meningkat kepada 15.13 sen daripada 11.44 sen sebelum ini.

 

Dalam kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata, pihaknya kekal optimis mengenai prospek FY25 setelah berjaya memulakan tahun kewangan ini dengan baik.

 

Kumpulan itu berkata, pendapatan faedah bersih (NII) meningkat sebanyak 6.4% tahun ke tahun kepada RM860.9 juta disebabkan pengembangan margin faedah bersih (NIM) sebanyak 13 mata asas kepada 1.89%.

 

Pendapatan bukan faedah pula turun 19.2% tahun ke tahun kepada RM317.6 juta disebabkan oleh ketiadaan keuntungan divestasi AmGen sebanyak RM51.5 juta dan keuntungan perdagangan serta sekuriti yang lebih rendah.

 

"Pendapatan Bersih dari Operasi Berterusan mencatat RM1.18 bilion, meningkat sebanyak 2.4% tahun ke tahun manakala perbelanjaan keseluruhan pula meningkat sebanyak 2.5% tahun ke tahun kepada RM520.6 juta, menyebabkan peningkatan kos terhadap pendapatan kepada 44.2%, berbanding 42.2% sebelum ini.

 

"Deposit tetap juga kekal stabil setakat tahun ini pada RM89.7 bilion manakala akaun semasa dan simpanan (CASA) sust sebanyak 13.3% setakat tahun ini kepada RM45.8 bilion. Nisbah CASA menurun kepada 33.8% dari 37.1% pada FY24," katanya.

 

Sementara itu, kata AMMB, Kumpulan akan terus melabur dalam teknologi, selaras dengan agenda pendigitalan untuk mencapai kecemerlangan operasi melalui peningkatan kecekapan proses dan pembangunan alat produktiviti.

 

“Untuk melindungi tenaga kerja pada masa hadapan, Kumpulan akan menguatkan bakat dengan memperoleh dan membangunkan kemahiran serta keupayaan baharu seperti yang diperlukan.

 

“Kepentingan kepada kelestarian terus menjadi keutamaan utama kami sebagai asas untuk beroperasi dan memperkukuhkan francais kami,” katanya.- DagangNews.com