Untung bersih Bank Islam melonjak 14% kepada RM254.2 juta pada 1HFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Bank Islam melonjak 14% kepada RM254.2 juta pada 1HFY23

Mohd. Muazzam Mohamed (kiri) ketika menyampaikan keputusan kewangan Bank Islam bagi separuh pertama tahun ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Untung bersih Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) meningkat sebanyak 14% kepada RM254.2 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023 (1HFY23).

 

Walaupun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar, hasil kumpulan meningkat sebanyak 39.4% kepada RM2.24 bilion bagi tempoh tersebut berbanding RM1.56 bilion pada tahun lepas. 

 

Katanya, peningkatan tersebut didorong oleh pertambahan pendapatan bersih ekoran pendapatan bukan berasaskan dana lebih tinggi iaitu RM117.2 juta atau 134.8%, dipacu oleh pendapatan pelaburan lebih baik serta laba bersih lebih tinggi daripada transaksi pertukaran asing. 

 

"Pendapatan berasaskan dana bersih meningkat 3.1% menerusi pertumbuhan pembiayaan kasar y-o-y dan pengukuhan margin pendapatan bersih (NIM) kepada 2.11% bagi 2QFY23 daripada 2.06% pada 1QFY23," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, prestasi separuh pertama tahun ini mencerminkan keutuhan dan fokus mereka dalam menyampaikan nilai kepada pemegang taruh walaupun berdepan landskap pasaran yang mencabar dan perkembangan global yang lemah. 

 

Bagaimanapun, kumpulan terus berwaspada dengan ketidaktentuan ini melalui pengurusan kecairan dan pendanaan kos secara berhemat serta mengambil langkah-langkah untuk mengoptimumkan kos.

 

"Kumpulan kekal teguh dalam melaksanakan hala tuju strategi lima tahun (LEAP25) yang merangkumi pembangunan penyelesaian kewangan lengkap Syariah-ESG dengan kepimpinan dalam perbankan digital dan kewangan sosial," katanya.

 

Setakat 30 Jun 2023, jumlah aset BIMB meningkat kepada RM87.5 bilion meningkat sebanyak 5.3% dipacu pertumbuhan dalam pembiayaan dan sekuriti pelaburan.

 

Pembiayaan kasar mengukuh 9.3% kepada RM66.3 bilion, sementara akaun deposit dan pelaburan pelanggan berada pada RM72.3 bilion dengan peningkatan sebanyak RM2 bilion atau 2.8%. 

 

Pengukuhan ini berikutan pertumbuhan teguh sebanyak 6.4% y-o-y atau RM1.7 bilion dalam jumlah akaun semasa, simpanan dan pelaburan (CASATIA) untuk berada pada RM28.3 bilion. 

 

Komposisi ini menjadikan aras sihat sebanyak 39.1% dalam jumlah akaun deposit dan pelaburan pelanggan. 

 

Sementara itu, tinjauan ekonomi Malaysia bagi separuh kedua 2023 dijangka sederhana positif tetapi berdepan risiko ke bawah berikutan perkembangan global yang lemah. 

 

Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan ekonomi akan berkembang dalam julat rendah, sekitar 4% hingga 5% pada tahun ini, turun daripada 8.7% yang dicatatkan pada 2022. 

 

Perkembangan itu disokong oleh kenaikan permintaan domestik, dipacu oleh peningkatan keadaan pekerjaan dan tahap pendapatan.  - DagangNews.com