Untung bersih Binastra pada 2QFY25 melonjak hampir 3 kali ganda kepada RM22.8 juta dipacu kerja pembinaan lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Binastra pada 2QFY25 melonjak hampir 3 kali ganda kepada RM22.8 juta dipacu kerja pembinaan lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Untung bersih Binastra Corp Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2024 (2QFY25) melonjak hampir tiga kali ganda kepada RM22.8 juta berbanding RM8.4 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya dipacu aktiviti kerja pembinaan yang lebih tinggi.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia juga didorong oleh permulaan lima projek baharu dalam tempoh tersebut.

 

Hasil bagi suku itu juga melonjak kepada RM230.9 juta berbanding RM89.7 juta pada 2QFY24. 

 

"Segmen pembinaan merupakan penyumbang utama kepada hasil dan keuntungan keseluruhan kumpulan dan ia dijangka terus memberikan hasil positif serta meningkat keputusan keseluruhan kumpulan," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, untung bersih bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Julai 2024 (1HFY25) juga meningkat kepada RM40.9 juta berbanding RM14.2 juta disokong peningkatan hasil sebanyak RM410.5 juta berbanding RM148.9 juta pada 1HFY24.

 

Pengarah Urusan Binastra, Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata, keputusan itu mencerminkan dedikasi dan kecekapan kumpulan dalam menguruskan projek yang sedang berlangsung.

 

"Dengan 11 kontrak baharu bernilai RM2.5 bilion diperolehi pada FY25, buku pesanan tertunggak kami kini berjumlah RM3.3 bilion dalam 21 projek yang sedang berjalan, memberikan keterlihatan pendapatan bagi kumpulan dalam tempoh empat tahun kewangan akan datang," katanya. - DagangNews.com