Untung bersih Bursa Malaysia diunjur meningkat 44.4% kepada RM70.7 juta pada suku keempat, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Bursa Malaysia diunjur meningkat 44.4% kepada RM70.7 juta pada suku keempat, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Nov - CGS-CIMB Research untung bersih Bursa Malaysia Berhad meningkat 44.4% kepada RM70.7 juta pada suku keempat tahun ini.

 

Katanya, jangkaan itu adalah berdasarkan asas yang rendah pada suku keempat tahun lalu dan ia juga berdasarkan kepada unjuran purata nilai dagangan harian (ADTV) antara RM2.1 bilion hingga RM2.2 bilion pada suku keempat 2023.

 

Firma penyelidikan itu berpandangan positif terhadap keputusan suku ketiga tahun ini berdasarkan pemulihan dalam ekuiti ADTV yang meningkat sebanyak 31.2% dari tahun ke tahun dan 19.4% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM2.1 bilion.

 

"Kami mengaitkan keputusan itu dengan sentimen pasaran yang bertambah baik berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos 2023 dan pelancaran Ekonomi Madani oleh kerajaan.

 

"Semasa PRN, kerajaan perpaduan berjaya mengekalkan kedudukan di tiga negeri utama iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

 

BACA JUGA: Untung bersih Bursa Malaysia meningkat 20.5% kepada RM60.4 juta pada 3QFY23

 

"Pada pandangan kami, ini akan mengurangkan risiko satu lagi perubahan dalam kawalan kerajaan persekutuan dalam masa terdekat dan kestabilan politik yang lebih baik di Malaysia, yang akan membolehkan kesinambungan dasar di bawah kerajaan perpaduan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

CGS-CIMB berkata, ekuiti ADTV yang lebih tinggi membantu Bursa Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 20.6% dalam keuntungan bersih pada suku ketiga 2023.

 

Ini berlaku walaupun penurunan 8% dalam pendapatan derivatif Bursa Malaysia bagi tempoh sembilan bulan tahun ini kesan daripada penurunan 5.4% dalam purata kontrak harian dalam pasaran derivatif pada sembilan bulan tahun ini.

 

Bagi tempoh sembilan bulan sehingga 30 September 2023, Bursa Malaysia telah mencatat untung bersih sebanyak RM192.8 juta, 8.6% lebih tinggi daripada RM177.6 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Peningkatan tersebut adalah disebabkan perbelanjaan operasi lebih rendah, yang menurun 2.4% kepada RM209.6 juta berbanding RM214.7 juta sebelumnya, disebabkan pembalikan peruntukan satu kali.

 

Firma penyelidikan itu juga menyasarkan perkembangan ADTV meningkat 7.6% pada FY24.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM6.90 sesaham," katanya.- DagangNews.com