Untung bersih Bursa Malaysia susut kepada RM88.97 juta pada suku kedua akibat tekanan inflasi global | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Bursa Malaysia susut kepada RM88.97 juta pada suku kedua akibat tekanan inflasi global

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Julai - Untung bersih Bursa Malaysia Bhd. pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 susut 33.16% kepada RM59.47 juta berbanding RM88.97 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan pada suku berkenaan juga merosot 22.55% kepada RM151.89 juta daripada RM196.1 juta bagi bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Ini menjadikan keuntungan bersih bagi tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 susut 39.4% kepada RM127.4 juta daripada RM210.4 juta.

 

Ia berikutan pendapatan operasi yang lebih rendah dalam tempoh berkenaan sebanyak RM390.4 juta, susut 25.4% daripada RM420.2 juta terutamanya disebabkan hasil dagangan sekuriti yang lebih rendah. 

 

Lembaga Pengarah meluluskan dan mengisytiharkan dividen interim sebanyak 15 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, berjumlah kira-kira RM121.4 juta.

 

Jumlah itu mewakili nisbah pembayaran sebanyak 95.3%, lebih tinggi daripada nisbah pembayaran untuk separuh pertama 2021, iaitu pada 92.3%.

 

Muhamad Umar Swift
Muhamad Umar Swift

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, aliran hasil yang lebih lemah telah dipengaruhi perkembangan domestik dan global termasuk tekanan inflasi global, yang mengakibatkan penurunan keuntungan pada separuh pertama 2022 berbanding tempoh sama pada 2021.

 

Bagaimanapun, katanya, dengan mengambil kira unjuran pertumbuhan ekonomi oleh Bank Dunia pada 5.5% dipacu permintaan penggunaan yang lebih tinggi, jumlah penyenaraian baharu kekal kukuh pada separuh kedua tahun ini.

 

"Kami akan terus meningkatkan daya tarikan penerbit tersenarai sedia ada melalui Program Transformasi Syarikat Tersenarai Awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada separuh pertama 2022, Pasaran Sekuriti menyaksikan hasil dagangan sebanyak RM147.2 juta, merosot 44.7% daripada RM266.1 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Penurunan ini disebabkan nilai purata dagangan harian (ADTV) bagi Pasaran Sekuriti On-Market Trades (OMT) dan Direct Business Trades (DBT) berjumlah RM2.46 bilion pada separuh pertama 2022 berbanding RM4.51 bilion bagi tempoh sama 2021. 

 

Bagaimanapun, dana yang diperoleh melalui tawaran awam permulaan (IPO) pada separuh pertama 2022 berjumlah RM2.1 bilion, yang jauh lebih tinggi daripada RM400 juta yang diperoleh pada separuh pertama 2021. - DagangNews.com