Untung bersih FM Global Logistics susut 9.5% kepada RM10.78 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih FM Global Logistics susut 9.5% kepada RM10.78 juta pada 3QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - Untung bersih FM Global Logistics Holdings Berhad pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 (3QFY23) menyusut sebanyak 9.5% kepada RM10.78 juta berbanding RM11.91 juta bagi suku sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu berkata, normalisasi kadar pengangkutan kontena sedang memberi kesan kepada jumlah perkhidmatan logistik.

 

Hasil bagi 3QFY2023 turun 37.7% kepada RM202.06 juta daripada RM324.58 juta setahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh kadar tambang yang lebih rendah dan aktiviti yang lebih rendah dalam perkhidmatan pengangkutan antarabangsa pada suku semasa.

 

Perkara itu berlaku walaupun terdapat peningkatan aktiviti dalam perkhidmatan logistik domestik.

 

Bagaimanapun, FM Global mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak satu sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) yang akan dibayar pada 28 Julai.

 

Bagi tempoh sembilan bulan terkumpul (9MFY23), kumpulan itu berjaya mencatatkan peningkatan 3.8% dalam keuntungan bersih kepada RM34.27 juta daripada RM33.02 juta setahun sebelumnya, walaupun hasil turun 8.3% kepada RM750.92 juta daripada RM819.14 juta dalam 9MFY2022.

 

FM Global berkata, prestasi tahun penuh semasanya dijangka hampir dengan prestasi tahun sebelumnya memandangkan cabaran seperti tekanan inflasi global di hadapan dan potensi risiko yang disebabkan oleh keadaan ekonomi global yang tidak menentu. 

 

Kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih RM45.59 juta pada pendapatan RM1.15 bilion pada TK2022.

 

"Kumpulan itu akan terus menumpukan pada mengembangkan pangkalan pelanggannya di serantau dan menambah baik pengurusan kos melalui kecekapan operasi," katanya. - DagangNews.com