Untung bersih Frontken susut 11% kepada RM23.58 juta pada suku pertama kesan penurunan sumbangan anak syarikat di Taiwan dan Singapura | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Frontken susut 11% kepada RM23.58 juta pada suku pertama kesan penurunan sumbangan anak syarikat di Taiwan dan Singapura

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mei - Untung bersih Frontken Corporation Berhad menyusut 11% kepada RM23.58 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 berbanding RM26.52 juta.

 

Penyusutan pendapatan itu berpunca daripada sumbangan yang lebih rendah daripada anak syarikatnya di Taiwan dan Singapura.

 

Hasil kumpulan bagi suku berkenaan juga menyusut kepada RM113.99 juta berbanding RM119.15 juta pada suku sama tahun sebelum ini.

 

Mengulas mengenai prestasinya, kumpulan itu berkata, hasil daripada anak syarikat di Taiwan dan Singapura yang lebih rendah sebahagiannya disebabkan oleh permintaan yang lebih lemah yang agak tipikal pada suku pertamanya.

 

“Bagaimanapun, anak-anak syarikat Kumpulan di Filipina dan Malaysia menunjukkan prestasi yang lebih baik berikutan peningkatan dalam industri minyak dan gas.

 

"Peningkatan dalam perniagaan tempatan kami sebahagian besarnya disebabkan oleh tempahan baharu untuk penyediaan bekalan tenaga manusia dan perkhidmatan peralatan berputar mekanikal daripada pelbagai kontrak yang dimiliki kumpulan itu dengan Petronas," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek mereka, kumpulan itu berkata, jualan semikonduktor global terus perlahan pada Februari, mencatatkan penurunan tahun ke tahun serta bulan ke bulan untuk bulan keenam berturut-turut.

 

Bagi industri minyak dan gas, kumpulan itu berkata, pihaknya optimis perniagaan akan lebih kukuh berbanding tahun lepas berikutan peningkatan tempahan daripada pelbagai kontrak untuk penyediaan bekalan tenaga manusia dan juga perkhidmatan peralatan mekanikal dan alat ganti yang dimilikinya bersama Petronas.

 

“Kumpulan itu menjangkakan keseluruhan keadaan perniagaan akan terus mencabar kesan ketegangan geopolitik semasa, peningkatan kadar faedah dan tekanan inflasi.

 

"Kami akan terus menumpukan perhatian kepada kualiti perkhidmatan dan kecekapan kumpulan untuk mengekalkan daya saing selain memberikan nilai untuk jangka panjang," katanya. -DagangNews.com