Untung bersih FY21 Maybank dijangka meningkat 8.8% | DagangNews Skip to main content

Untung bersih FY21 Maybank dijangka meningkat 8.8%

Malayan Banking Berhad (Maybank)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Keuntungan bersih syarikat perbankan, Malayan Banking Berhad (Maybank) dijangka meningkat 8.8% bagi tempoh tahun kewangan 2021.

 

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu adalah lebih baik berbanding penurunan jumlah keuntungan yang dicatatkan dalam tahun kewangan 2020 (FY20).

 

"Keuntungan bersih FY20 Maybank merosot 18% disebabkan oleh dua perkara iaitu penurunan pendapatan faedah bersih sebanyak 8.3% serta lonjakan 101% dalam peruntukan kerugian pinjaman (LLP).

 

"Kami mengunjurkan LLP Maybank turun 38.1% bagi tahun kewangan 2021.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan pertumbuhan keuntungan bersih Maybank meningkat kepada 8.8% pada FY21," jelas CGS-CIMB Research.

 

Semalam, DagangNews.com melaporkan Maybank mengalami kerugian yang lebih tinggi akibat pandemik COVID-19.

 

Susulan itu, Malayan Banking Berhad (Maybank)  mencatatkan keuntungan bersih suku tahun berakhir 31 Disember 2020 (4Q20) 37.2% lebih rendah kepada RM1.54 bilion. 

 

Baca: COVID-19 heret untung bersih Q4 Maybank susut 37.2%

 

Kerugian rosot nilai melonjak daripada RM298.9 juta pada tahun kewangan 2019 (FY19) kepada RM1.50 bilion pada FY20.

 

Sementara itu, MIDF Research memberitahu, pengumuman kadar dividen akhir Maybank sebanyak 38.5 sen adalah lebih tinggi berbanding jangkaan pihaknya.

 

"Kumpulan mengumumkan dividen akhir sebanyak 38.5 sen. Ini menjadikan dividen keseluruhan bagi tahun kewangan sebanyak 52.0 sen, dua kali ganda berbanding jangkaan kami.

 

"Ini disebabkan oleh dividen interm yang mengutkan sebanyak 13.5 sen pada suku ketiga tahun kewangan 2020.

 

"Kami juga mengekalkan ramalan pendapatan Maybank memandangkan hasil yang diperoleh seiring dengan jangkaan," tambah MIDF Research. - DagangNews.com