KUALA LUMPUR 17 Feb - Untung bersih Gas Malaysia Berhad melonjak sebanyak 37.42% kepada RM95.22 juta suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) berbanding RM69.29 juta bagi suku yang sama pada tahun sebelumnya.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, peningkatan keuntungan itu disumbangkan oleh untung kasar, pendapatan kewangan dan sumbangan yang lebih tinggi daripada syarikat kerjasama dan sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi serta kos kewangan yang lebih tinggi.
Katanya, bagi suku berkenaan kumpulan tersebut mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 14.3% kepada RM2.2 bilion berbanding RM1.94 bilion bagi suku sama pada tahun sebelumnya
Hasil itu adalah sejajar dengan purata harga jualan gas asli yang lebih tinggi, seiring dengan harga pasaran global, dikurangkan oleh jumlah gas asli yang lebih rendah yang dijual pada suku semasa.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) untung bersih meningkat 56.05% kepada RM389.54 juta daripada RM249.62 juta setahun lalu, disokong oleh peningkatan 30.72% dalam hasil kepada RM7.65 bilion daripada RM5.85 bilion untuk FY21.
Keputusan itu adalah sejajar dengan purata harga jualan gas asli yang lebih tinggi, sejajar dengan harga pasaran global, dikurangkan oleh jumlah gas asli yang lebih rendah yang dijual pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Kumpulan itu berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka berada dalam julat 4% hingga 5% pada 2023, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan meneruskan peningkatan dalam pasaran tenaga kerja.
"Bagaimanapun, halangan seperti tekanan inflasi, kenaikan kos tenaga kerja, pergerakan dalam kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia dan unjuran kelembapan dalam ekonomi global akan kekal sebagai sebahagian daripada cabaran.
"Kumpulan itu akan terus mengambil langkah berhemah bagi mengekalkan kecekapan operasinya agar kekal berdaya saing dan mencari peluang untuk mengembangkan perniagaannya.
"Berdasarkan langkah-langkah tersebut, lembaga pengarah menjangkakan kumpulan itu akan memberikan prestasi yang memuaskan untuk tahun kewangan 2023 seiring dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi domestik," katanya. - DagangNews.com