Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Okt. - Keuntungan bersih Genetec Technology Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Sept 2021 (2QFY22) melonjak lebih enam kali ganda tahun ke tahun kepada RM16.31 juta daripada RM2.64 juta disebabkan terutamanya oleh jumlah jualan yang lebih tinggi dan kecekapan operasi yang lebih baik.
Dalam pemfailan bursa pada Isnin (25 Okt), Genetec berkata pendapatan bagi suku itu meningkat kepada RM59.31 juta berbanding RM38.67 juta sebelumnya.
Perolehan sesaham melonjak kepada 32.25 sen daripada 6.18 sen. Genetec bagaimanapun tidak mengisytiharkan sebarang dividen untuk suku tersebut.
"Bagi enam bulan berakhir 30 September 2021, keuntungan bersih kumpulan melonjak kepada RM24.49 juta daripada RM549,000 sebelumnya.
"Kumpulan terus merekodkan keputusan yang kukuh terutamanya disebabkan oleh sektor kenderaan elektrik (EV), yang dirangsang sebahagian besarnya oleh trend elektrifikasi global serta usaha berterusan untuk mengukuhkan kerjasama mendalam dengan pelanggan utamanya yang sedia ada," katanya di sini hari ini.
Mengulas mengenai prospeknya, Genetec berkata, syarikat akan menggerakkan momentum ke arah penggunaan elektrik kenderaan dan bekerjasama dengan pelanggan global sedia ada dan baharu di sektor EV untuk meningkatkan penguasannya dalam segmen pasaran global ini.
“Ini akan memastikan peningkatan pendapatan kumpulan pada masa hadapan dan membolehkan kami menemui lebih banyak peluang pasaran.
"Dengan tempahan semasa terjamin dan prospek positif untuk pasaran EV global, kumpulan menjangkakan akan terus menunjukkan prestasi baik pada suku berikutnya, kecuali keadaan yang tidak diduga," katanya. -DagangNews.com