Untung bersih Globetronics susut 37% kepada RM7.1 juta pada 2QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Globetronics susut 37% kepada RM7.1 juta pada 2QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - Untung bersih Globetronics Technology Berhad menyusut sebanyak 37% kepada RM7.1 juta pada suku tahun berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM11.2 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan itu juga menyusut sebanyak 34% kepada RM31.5 juta berbanding RM47.8 juta pada tahun lalu.

 

Kumpulan itu berkata, penyusutan hasil dan untung bersih itu adalah disebabkan jumlah tempahan yang lebih rendah daripada pelanggan tertentu.

 

Selain itu, ia juga disebabkan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi sebanyak RM1.8 juta diiktiraf dalam penyata pendapatan berbanding perbelanjaan cukai sebanyak RM600,000 pada suku yang sama berakhir 30 Jun 2022.

 

"Bagaimanapun, ia diimbangi keuntungan tukaran mata wang asing sebanyak RM4 juta diiktiraf dalam penyata pendapatan berbanding RM1.3 juta pada suku yang sama tahun lalu," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, industri semikonduktor terus mengalami isu makroekonomi dan geopolitik yang mencabar yang mengakibatkan permintaan akhir yang tidak menentu, inflasi yang meningkat selain kekurangan tenaga kerja.

 

Katanya, kumpulan itu akan terus berusaha untuk meminimumkan sebarang potensi pendedahan atau gangguan yang timbul daripada cabaran itu.

 

"Tahun ini akan menjadi tahun yang mencabar dan kami dijangka mengalami penyusutan keuntungan bagi tahun kewangan tersebut.

 

"Beberapa faktor yang menyumbang kepada penurunan ini termasuk unjuran hasil yang lebih lemah, kesan cukai setahun penuh daripada status perintis kami yang tamat tempoh dalam salah satu anak syarikat, kesan penuh kenaikan gaji minimum dan peningkatan dalam kos utiliti," katanya.- DagangNews.com