KUALA LUMPUR 9 Ogos - Untung bersih Hartalega Holdings Bhd. bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2022 (1QFY23) merudum kepada RM88.28 juta daripada RM2.26 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya apabila pendapatannya pada suku berkenaan merosot dengan ketara.
Pada suku berkenaan, pendapatannya merosot 78.3% kepada RM845.67 juta daripada RM3.9 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2022, menurutnya dalam makluman di Bursa di Malaysia hari ini.
Penurunan itu terutamanya disebabkan normalisasi harga jualan purata (ASP) dan penurunan jumlah jualan sebanyak 28%, berbanding suku pertama tahun sebelumnya apabila kedua-dua ASP dan permintaan mencecah rekod tertinggi ketika pandemik COVID-19.
Ini menyebabkan keuntungan pada suku dikaji juga terjejas akibat kos tenaga dan buruh yang lebih tinggi ekoran kenaikan tarif gas asli dan pelaksanaan gaji minimum.
Bagi suku ke suku, pendapatan juga susut 12.7% berbanding suku keempat berakhir 31 Mac 2022 disebabkan penurunan ASB dan jumlah jualan.
Menurut Hartalega, sektor sarung tangan getah berdepan kos operasi yang lebih tinggi disebabkan peningkatan tekanan inflasi susulan tarif elektrik dan gas asli serta pelaksanaan gaji minimum mulai 1 Mei 2022.
Di samping itu, katanya, sektor tersebut turut mengalami persaingan pasaran yang semakin meningkat diburukkan lagi oleh keadaan lebihan bekalan yang berterusan dalam industri sarung tangan global.
"Bagaimanapun, sektor sarung tangan getah dijangka menyaksikan peningkatan struktur dalam permintaan bagi tempoh jangka panjang dengan peningkatan penggunaan sarung tangan di pasaran baharu muncul yang mempunyai asas penggunaan sarung tangan yang rendah," katanya.
Syarikat pengeluar sarung tangan getah itu juga menjangkakan peningkatan dalam permintaan akan meningkat sejajar kesedaran yang lebih tinggi tentang kebersihan dan kesedaran kesihatan dalam kalangan pengamal penjagaan kesihatan pasca pandemik.
"Bersandarkan kepada prospek ini, kumpulan akan meneruskan pelan pengembangan bagi NGC 1.5. Tetapi, ia bergantung kepada dinamik penawaran dan permintaan pasaran semasa," jelasnya.
Namun, katanya, kumpulan kekal optimis tetapi berhati-hati terhadap prospek sektor sarung tangan getah dalam tempoh jangka panjang, dengan mengambil kira jangkaan pertumbuhan permintaan bagi sarung tangan getah selepas pandemik COVID-19. - DagangNews.com