Untung bersih Hartalega pada suku kedua merosot 97% kepada RM28.34 juta ekoran ASP lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Hartalega pada suku kedua merosot 97% kepada RM28.34 juta ekoran ASP lebih rendah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Nov - Untung bersih Hartalega Holdings Bhd. bagi suku kedua berakhir 30 September 2022 susut 96.9% kepada RM28.34 juta daripada RM914.01 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan pendapatan yang lebih rendah pada tempoh berkenaan.

 

Pada suku itu, pendapatan merosot 70.9% kepada RM584.6 juta daripada RM2.01 bilion, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Penurunan itu disebabkan harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah ekoran persaingan pasaran yang sengit mengakibatkan berlakunya situasi lebihan bekalan di samping penurunan volum jualan sebanyak 27% berbanding suku kedua tahun sebelumnya.

 

Ini menyaksikan pendapatan bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September juga merosot 75.8% kepada RM1.43 bilion daripada RM5.91 bilion dengan untung bersih terus menjunam kepada RM116.24 juta daripada RM3.17 bilion. 

 

Menurut Hartalega, ketidaktentuan luaran akan terus mempengaruhi pemulihan ekonomi pasca pandemik secara menyeluruh di tengah-tengah konflik geopolitik yang tidak dapat diselesaikan antara Rusia dan Ukraine, pelaksanaan dasar sifar COVID-19 di China dan inflasi global yang semakin teruk.

 

Pada masa sama, katanya, sektor sarung tangan getah mengalami peningkatan kos operasi akibat tekanan inflasi berikutan kenaikan tarif gas asli dan elektrik serta dasar gaji minimum baharu yang diperkenalkan di Malaysia pada tahun ini.

 

"Tidak terkecuali, sektor ini turut dilanda situasi lebihan bekalan global yang berterusan yang mengakibatkan industri beroperasi pada tahap penggunaan yang tidak optimum.

 

"Kapasiti berlebihan daripada pengembangan yang agresif serta penyimpanan stok pembeli yang berlebihan semasa wabak menyebabkan ketidakseimbangan bekalan-permintaan pasaran dan persaingan pasaran yang semakin sengit," jelasnya.

 

Syarikat pengeluar sarung tangan getah itu berkata, walaupun melihat tahap rasionalisasi kapasiti tertentu pada tahun ini, teka-teki yang dihadapi sektor itu berkemungkinan berterusan buat masa ini sebelum pasaran boleh kembali ke tahap keseimbangan.

 

Oleh itu, katanya, kumpulan telah mengambil pendekatan strategik untuk menyelaraskan pelan pengembangan NGC 1.5 dengan dinamik penawaran dan permintaan pasaran semasa di samping memantau perkembangan pasaran dengan teliti.

 

"Memandangkan landskap perniagaan yang semakin mencabar, kumpulan juga akan terus menekankan pengurusan kos yang lebih baik, meningkatkan kecekapan operasi dan meningkatkan inisiatif automasi di seluruh operasi," katanya. - DagangNews.com