Untung bersih Hextar Global melonjak kepada RM15.8 juta pada 2QFY22 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Hextar Global melonjak kepada RM15.8 juta pada 2QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Untung bersih Hextar Global Berhad melonjak kepada RM15.8 juta pada 2QFY22 berbanding RM7.3 juta pada suku yang sama tahun lalu.

 

Peningkatan untung bersih itu didorong oleh pertumbuhan hasil yang kukuh daripada strategi dan pengembangan pelaburan Hextar.

 

Pada asas kumulatif, hasil Hextar meningkat 48.1% kepada RM316.3 juta berbanding RM213.5 juta yang dicatatkan bagi tempoh yang sama tahun lepas manakala untung bersih 79.3% lebih tinggi, melonjak daripada RM18.0 juta kepada RM32.3 juta.

 

Hasil disatukan kumpulan juga meningkat 64.8% atau RM64.0 juta kepada RM162.7 juta disumbangkan daripada segmen Bahan Kimia Khas yang berjumlah RM53.8 juta selain segmen pertanian dan segmen produk pengguna meningkat 8.2% dan 56.6% kepada RM95.0 juta dan RM3.8 juta masing-masing.

 

Hasil kumpulan juga meningkat sebanyak 5.9% daripada RM153.6 juta kepada RM162.7 juta dari suku ke suku, disebabkan prestasi yang lebih baik dalam segmen pertanian.

 

Pengarah Eksekutif Hextar, Datuk Eddie Ong Choo Meng berkata, separuh pertama tahun 2022 adalah sangat baik terutama selepas mereka meraih untung bersih sebanyak RM32.3 juta dan ia adalah hasil pengembangan melalui pengambilalihan.

 

Beliau berkata, lebih penting lagi, margin keuntungan terus meningkat daripada 19.4% kepada 27% bagi suku semasa dan tunai yang dijana daripada operasi kekal kukuh pada RM37.2 juta.

 

"Penggunaan agrokimia adalah penting dalam pertanian masa kini ditambah dengan peningkatan saiz populasi dan peningkatan penggunaan makanan, kemerosotan tanah, kekurangan tanah pertanian serta kesedaran pengguna tentang faedah agrokimia.

 

"Kami masih melihat peluang pertumbuhan yang ketara dalam industri dan atas dasar itu kami sentiasa melabur secara aktif dalam pembangunan dan penyelidikan (R&D)," katanya.

 

Beliau berkata, bagi meneruskan usaha dalam tahun kewangan ini, pihaknya akan kekal fokus kepada matlamat strategik serta rancangan pengembangan.

 

Semasa kami melangkah ke baki tahun kewangan ini, kami kekal fokus pada matlamat strategik dan rancangan pengembangan kami.

 

"Kami telah mengambil satu lagi langkah untuk terus meletakkan kumpulan kami untuk menjana nilai yang mampan untuk para pemegang saham kami," katanya. - DagangNews.com