Untung bersih Hextar melonjak kepada RM15.7 juta pada suku pertama 2022 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Hextar melonjak kepada RM15.7 juta pada suku pertama 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Hextar Global Berhad merekodkan untung bersih sebanyak RM15.7 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 iaitu peningkatan 45.5% berbanding RM10.75 juta pada suku sama tahun lalu akibat perolehan yang lebih tinggi.

 

Kumpulan itu melaporkan hasil sebanyak RM153.63 juta iaitu 33.8% lebih baik berbanding suku tahun lalu hasil daripada sumbangan segmen bahan kimia khusus yang baru diambil alih.

 

Margin keuntungan juga menjadi lebih baik daripada 9.3% kepada 10.7% terutama dalam sektor bahan kimia khusus.

 

Sementara itu, Hextar telah memeterai perjanjian penjualan saham dengan anak syarikat milik 49% Hextar Kimia Sdn. Bhd. untuk mengambil alih Hextar Kimia (Australia) Pty Ltd. dan International Chemicals Engineering Pty Ltd. untuk menyatukan kedudukannya dalam pasaran minyak dan gas Australia dan New Zealand.

 

Pengarah Eksekutif Hextar, Datuk Eddie Ong Choo Meng berkata, menerusi pengambilalihan PT Agro Sentosa Raya di Indonesia, kumpulan itu akan mendapat akses segera kepada pasaran Australian dan New Zealand bagi meningkatkan kapasiti terhadap perniagaan terasnya.

 

Beliau berkata, keputusan itu juga mencerminkan kebolehan kumpulan untuk meneruskan momentum yang berjaya dicapai pada tahun lalu.

 

"Walapun berdepan pelbagai cabaran termasuk harga bahan mental tidak stabil selain gangguan rantaian bekalan, kami berjaya mengembangkan pendapatan kami sebanyak 33.8% dan pendapatan bersih kepada 54.6% berbanding tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Choo Meng menjangkakan, kumpulan itu akan terus mengekalkan trajektori perkembangannya didorong oleh segmen bahan kimia khusus.

 

"Permulaan yang kukuh pada tahun ini memberikan keyakinan bahawa kami berada di landasan terbaik untuk mendapatkan hasil lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022," katanya. - DagangNews.com