Untung bersih HSS Engineers meningkat kepada RM5.2 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih HSS Engineers meningkat kepada RM5.2 juta pada 3QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - HSS Engineers Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 3.1% kepada RM5.2 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM5 juta pada tahun lalu.

 

Hasil kumpulan bagi suku itu juga meningkat sebanyak 17.4% kepada RM47.4 juta berbanding 40.4 juta pada 3QFY22.

 

Kumpulan itu berkata, peningkatan untung bersih itu disumbangkan campuran jualan yang lebih baik dan pendapatan operasi yang lebih tinggi 

 

Untung bersih kumpulan itu bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2023 meningkat sebanyak 28.3% kepada RM14.7 juta berbanding RM11.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu disokong oleh peningkatan hasil 23.9% kepada RM142.1 juta didorong kontrak Pengurusan Projek (PMC) infrastruktur utama.

 

Naib Pengerusi Eksekutif HSS Engineers, Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata, Prestasi kewangan yang positif setakat tahun ini adalah petunjuk prospek yang lebih cerah untuk kumpulan menjana pendapatan daripada kontrak infrastruktur.

 

"Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri mengesahkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia ke arah memartabatkan infrastruktur negara melalui projek baharu dan peningkatan yang amat diperlukan kepada kemudahan sedia ada.

 

"Kami akan memanfaatkan kepakaran dan rekod prestasi cemerlang dalam infrastruktur bagi memainkan peranan dalam pembinaan negara ketika ekonomi global tidak menentu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, peruntukan kerajaan sebanyak RM11.8 bilion bagi projek tebatan sudah pasti akan menjaga kualiti hidup rakyat ketika Malaysia bergelut dengan cabaran yang ditimbulkan oleh perubahan iklim.

 

"Memandangkan rekod prestasi kami yang kukuh dalam tebatan banjir, syarikat mempunyai kedudukan unik bagi membantu meminimumkan gangguan yang disebabkan oleh banjir," katanya.

 

Sementara itu, segmen reka bentuk kejuruteraan menyaksikan pendapatannya meningkat 19.8% kepada RM29.8 juta pada 3QFY23 daripada RM23.9 juta sebelumnya sejajar dengan kemajuan projek.

 

Bagaimanapun, pendapatan segmen penyeliaan pembinaan merosot 4.6% kepada RM14.5 juta pada 3Q23 daripada RM15.2 juta pada suku yang sama sebelumnya disebabkan penurunan hasil daripada Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang selaras dengan status siap projek ini.

 

Kumpulan itu juga telah meneroka sektor digital dan teknologi, setelah memperoleh kontrak bagi menyediakan pengurusan projek dan perkhidmatan kejuruteraan kepada dua pusat data di Sedenak, Johor, dan pusat data Infinaxis di Cyberjaya, Selangor. - DagangNews.com