Untung bersih I-Berhad bagi 1HFY24 meningkat kepada RM9.5 juta dipacu peningkatan segmen riadah dan hospitaliti | DagangNews Skip to main content

Untung bersih I-Berhad bagi 1HFY24 meningkat kepada RM9.5 juta dipacu peningkatan segmen riadah dan hospitaliti

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Untung bersih I-Berhad yang merupakan pemaju i-City bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24) meningkat kepada RM9.5 juta berbanding RM2.4 juta bagi tempoh sama tahun lalu dipacu peningkatan luar biasa dalam segmen riadah dan hospitaliti.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi 1HFY24 juga meningkat kepada RM96.1 juta berbanding RM86.3 juta pada 1HFY23.

 

Katanya, bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24), kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM5.4 juta berbanding RM1.8 juta pada tahun sebelumnya dengan peningkatan hasil sebanyak RM55.5 juta berbanding RM41.8 juta pada 2QFY23.

 

"Untung kasar bagi segmen riadah dan hospitaliti melonjak kepada RM4.2 juta bagi suku berkenaan berbanding RM220,000 pada tahun lalu. 

 

"Tarikan baharu seperti Arena Sukan Digital, Immersive Winterland dan Race Karting mendorong peningkatan kehadiran pengunjung ke i-City, terutamanya semasa cuti sekolah.

 

"Selain itu, keupayaan kumpulan memanfaatkan pertumbuhan pesat aktiviti B-leisure dan MICE di Shah Alam menyumbang kepada kejayaan DoubleTree 5 By Hilton i-City dan Hotel Best Western," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, segmen pelaburan hartanah juga menunjukkan peningkatan ketara, dengan untung kasar sebanyak RM2.9 juta, meningkat daripada RM1.9 juta pada 2QFY23.

 

Katanya, peningkatan positif itu menyerlahkan kejayaan pengurusan dan strategi pengoptimuman kumpulan dalam segmen ini.

 

"Pelaksanaan strategi yang berkesan telah membawa kepada kejayaan penyewaan hartanah pelaburan kumpulan, terutamanya menara pejabat premium GBI Mercu Maybank, tempat letak kereta dan pusat data di i-City serta bahagian keputusan syarikat bersekutu – Central i-City Mall yang merupakan pusat membeli-belah pertama Thailand di Malaysia," katanya.

 

I-Berhad berkata, walaupun terdapat penurunan sebanyak 49.9% dalam keuntungan kasar sektor pembangunan hartanah kumpulan pada 2QFY24 berbanding suku yang sama tahun lepas, ia merupakan satu pemulihan mendadak daripada kerugian sebelum cukai sebanyak RM2.2 juta pada 1QFY24.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, pelaburan strategik dan visi jangka panjang mereka menggariskan komitmen untuk mencipta nilai untuk pemegang saham dan pemegang kepentingan.

 

"Jangkaan pertumbuhan yang dipacu oleh i-City, bersedia untuk mencapai kejayaan, mengukuhkan kepimpinan pasaran kami dan meningkatkan kelebihan daya saing dalam pembangunan bercampur," katanya.- DagangNews.com