Untung bersih I-Berhad susut kepada RM5.5 juta pada 3QFY23 berbanding RM15.6 juta pada tahun sebelumnya | DagangNews Skip to main content

Untung bersih I-Berhad susut kepada RM5.5 juta pada 3QFY23 berbanding RM15.6 juta pada tahun sebelumnya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Nov - Untung bersih I-Berhad susut kepada RM5.5 juta pada suku ketiga berkahir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM15.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu mencatatkan hasil lebih tinggi sebanyak RM44.8 juta tetapi untung sebelum cukai lebih rendah sebanyak RM6.1 juta berbanding hasil dan keuntungan sebelum cukai masing-masing sebanyak RM38.9 juta dan RM17.4 juta bagi suku kewangan yang sama berakhir 30 September 2022 (3QFY22).

 

Katanya, segmen riadah dan hospitaliti kumpulan mencatatkan hasil dan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi berbanding suku kewangan yang sama.

 

"Keuntungan suku semasa disumbangkan oleh pengiktirafan lebih tinggi daripada kemajuan kerja pembangunan berterusan, peningkatan lawatan ke taman tema dan segmen hospitaliti, serta bahagian hasil syarikat bersekutu yang lebih tinggi daripada segmen pelaburan hartanah," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, mereka sedang mengukuhkan portfolio pelaburan hartanah yang bertujuan menjadikan i-City lebih menarik kepada penyewa dan rakan kongsi perniagaan.

 

Katanya, strategi komprehensif itu menumpukan kepada memaksimumkan pulangan daripada komponen utama seperti menara korporat Mercu Maybank, Pusat Data Tier-3, Central i-City Mall dan blok tempat letak kereta.

 

"Segmen riadah dan hospitaliti menunjukkan prestasi yang baik. DoubleTree by Hilton i-City telah berjaya pada tahun pertamanya, menyumbang dengan ketara kepada pembangunan keseluruhan.

 

"Kami melabur RM10 juta bagi meningkatkan pengalaman pengunjung dengan Immersive Winterland dan Arena Sukan Digital yang disasarkan pembukaannya pada 29 November 2023 dan 20 Disember 2023," katanya.

 

Kumpulan itu juga berkata, visi jangka panjang i-City adalah untuk menjadi hab serantau bagi syarikat multinasional, institusi kewangan dan syarikat fintech.

 

"Kami sedang menyepadukan teknologi 5G, dan meletakkan i-City sebagai Bandar Pintar Generasi Seterusnya yang disokong oleh infrastruktur yang kukuh dan tenaga kerja berbakat, i-City ialah destinasi ideal untuk perniagaan dan pelabur yang inovatif," katanya. - DagangNews.com