Untung bersih ITMAX System pada 2QFY24 meningkat 26.7% kepada RM19.2 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih ITMAX System pada 2QFY24 meningkat 26.7% kepada RM19.2 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Untung bersih ITMAX System Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) meningkat 26.7% kepada RM19.2 juta berbanding RM15.1 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya dipacu peningkatan hasil daripada kontrak kerja baharu.

 

Pada masa sama, ia disokong kerja-kerja pembekalan serta pemasangan yang sedang dilaksanakan.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku itu juga meningkat kepada RM53.2 juta berbanding RM33.4 juta pada 2QFY23.

 

"Peningkatan hasil kumpulan adalah disebabkan oleh peningkatan dalam semua perkhidmatan kecuali rumusan infrastruktur digital," katanya.

 

Untung bersih bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24) juga meningkat kepada RM37.2 juta berbanding RM30.3 juta bagi tempoh sama tahun lalu disokong peningkatan hasil kepada RM99.1 juta daripada RM68 juta pada 1HFY23.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX System, William Tan Wei Lun berkata, kumpulan itu secara konsisten menyampaikan keputusan kewangan yang teguh, menggariskan daya tahan perniagaannya. 

 

"Kami juga telah memperoleh kontrak baharu yang akan menjadi pemangkin untuk pertumbuhan kewangan masa hadapan.

 

"Sebagai penyedia perkhidmatan infrastruktur digital bersepadu dikuasakan kecerdasan buatan (AI), kami berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan inisiatif pendigitalan nasional, terutamanya dalam memajukan peralihan bandar pintar.

 

"Komitmen kami terhadap inovasi mendorong kami untuk terus membangunkan ciri AI termaju yang membantu pelanggan kami mengurus bandar dengan lebih cekap," katanya dalam satu kenyataan, berasingan.- DagangNews.com