Untung bersih JF Technology susut kepada RM3.1 juta pada 1QFY24 kesan kelemahan industri semikonduktor | DagangNews Skip to main content

Untung bersih JF Technology susut kepada RM3.1 juta pada 1QFY24 kesan kelemahan industri semikonduktor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Nov - Untung bersih  JF Technology Berhad susut kepada RM3.1 juta pada suku pertama berakhir 30 September 2023 (1QFY24) berbanding RM4.4 juta pada tahun lalu.

 

Kumpulan juga mencatatkan penurunan hasil kepada RM10.7 juta bagi suku semasa, lebih rendah berbanding RM11.6 juta yang dicatatkan setahun lalu kerana permintaan bagi soket sentuhan ujian kekal terjejas oleh kelemahan dalam industri semikonduktor.

 

Bagaimanapun, sumbangan yang lebih baik daripada bahagian produk antara muka ujian dan kemudahan pembuatan di Kunshan, China membolehkan kumpulan itu mengimbangi sebahagian kesan kelembapan.

 

Pengarah Urusan JF Technology, Datuk Foong Wei Kuong berkata, industri semikonduktor global menghampiri penghujung kitaran menurun dan dijangka mula pulih pada 2024.

 

Katanya, prospek yang memberangsangkan itu merupakan petunjuk positif bagi industri dan kumpulan, dengan kapasiti sedia, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik bagi mengharungi gelombang pemulihan.

 

"Pada masa sama, prospek jangka panjang juga disokong kehadiran kumpulan di China berikutan pelaburan berterusan dalam sektor semikonduktor.

 

"Penggunaan kemudahan China mencatatkan meningkat dan kami menjangkakan trajektori menaik ini akan berterusan pada FY24," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Wei Kuong berkata, kemudahan baharu kumpulan itu di Kota Damansara berada di landasan yang betul untuk disiapkan menjelang akhir 2023.

 

Katanya, ia akan menjadi Pusat Kecemerlangan Malaysia dan merangkumi tambahan 75,000 kaki persegi menjadikan jumlah keseluruhan seluas 121,000 kaki persegi.

 

“Melihat ke hadapan, tumpuan utama kami kekal pada pelaksanaan enam enjin pertumbuhan kami sambil memajukan transformasi JF 4.0 kami untuk berkembang menjadi pembekal penyelesaian sehenti yang komprehensif.

 

"Kami akan memanfaatkan kelebihan daya saing daripada model perniagaan kami yang berdaya tahan dan mampan dengan jualan berulang dan kompaun bahan guna ujian merentas pelbagai industri," katanya. - DagangNews.com