Untung bersih KAB melonjak lebih empat kali ganda kepada RM3.34 juta pada 2QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih KAB melonjak lebih empat kali ganda kepada RM3.34 juta pada 2QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Untung bersih Kinergy Advancement Berhad (KAB) meningkat lebih empat kali ganda kepada RM3.34 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) daripada RM640,000 pada suku tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu juga mencatatkan hasil sebanyak RM45.08 juta atau peningkatan 5.7% daripada RM42.64 juta pada 2QFY22.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023 (6MFY23), KAB melaporkan untung bersih sebanyak RM5.91 juta, iaitu peningkatan sebanyak 380.4% daripada RM1.23 juta tempoh enam bulan yang sama berakhir 30 Jun 2022 (6MFY22).

 

Keputusan segmen rumusan tenaga mampan (SES) juga menunjukkan peningkatan yang ketara, melonjak sebanyak 182.6% daripada RM2.26 juta dalam 6MFY22 kepada RM6.38 juta yang ketara dalam 6MFY23.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, keputusan kumpulan itu terus disokong oleh pertumbuhan asas yang kukuh dan teguh dalam segmen SES 

 

Beliau berkata, Sehingga separuh pertama tahun ini, pihaknya berbesar hati untuk mencatatkan pemulihan yang ketara dalam keuntungan dan terus mencatat pertumbuhan tertinggi baharu melalui segmen SES.

 

"Saya optimis mengenai prestasi kewangan untuk baki FY23 dan yakin segmen SES kami akan terus memacu prestasi kewangan kumpulan untuk tahun kewangan akan datang.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, sejak beberapa bulan kebelakangan ini usaha pihaknya tertumpu kepada pengembangan portfolio termasuk kejayaan menyelesaikan pengambilalihan Matahari Suria Sdn. Bhd. (MSSB) dan ia mengukuhkan kedudukan mereka dalam domain tenaga suria.

 

Katanya, pihaknya juga dianugerahkan sebagai antara pengeluar tenaga solar di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) sulung.

 

"Kami menjangkakan penyempurnaan dua pengambilalihan berterusan kami iaitu PT Inpola Mitra Elektrindo; Mini-Hydroplant di Indonesia dan Future Biomass Gasification Sdn Bhd; sebuah loji biogas pada separuh kedua tahun ini.

 

"Pengambilalihan ini akan mewakili tambahan penting kepada portfolio segmen SES kami yang pelbagai dan dijangka akan meningkatkan lagi profil pendapatan Kumpulan dengan ketara," katanya. - DagangNews.com