Untung bersih LPI bagi 4QFY22 meningkat 14.47% kepada RM83.57 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih LPI bagi 4QFY22 meningkat 14.47% kepada RM83.57 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Feb - Untung bersih LPI Capital Berhad bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) meningkat sebanyak 14.47% kepada RM83.57 juta berbanding RM73.07 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan kumpulan disumbangkan oleh hasil sebanyak RM433.17 juta pada 4QFY22, meningkat daripada RM429.04juta pada 4QFY21.

 

Menurut kumpulan itu, prestasi suku tahunan yang lebih baik disumbangkan oleh peningkatan dalam pendapatan pelaburan dan peruntukan yang lebih rendah untuk kerugian nilai saksama ke atas pelaburan.

 

Untuk setahun penuh, keuntungan bersih LPI menyusut kepada RM276.61 juta berbanding RM344.68 juta setahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu melaporkan hasil sebanyak RM1.66 bilion untuk tahun dalam tinjauan, 3.5% lebih rendah daripada RM1.72 bilion pada FY21.

 

"Pada FY22, prestasi kumpulan terjejas oleh perubahan ketara dalam persekitaran operasi apabila ekonomi domestik dibuka semula berikutan dua tahun sekatan berkaitan wabak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

"Walaupun penyambungan semula aktiviti perniagaan dan sosial memangkin pertumbuhan kumpulan namun ia juga meningkatkan tuntutan insurans kembali ke tahap pra pandemik selepas penurunan ketara sejak dua tahun lalu," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya Lonpac Insurance Berhad terus menunjukkan peningkatan dalam kekerapan dan nilai tuntutan dengan nisbah tuntutan merosot kepada 40.5% daripada 37.7% pada suku yang sama sebelumnya.

 

"Dengan nisbah perbelanjaan pengurusan pada 18% dan nisbah komisen pada 7.6%, nisbah gabungan Lonpac untuk 4QFY22 meningkat kepada 66.1% berbanding 62.8% yang dilaporkan pada suku sama tahun sebelumnya.

 

"Keuntungan taja jamin Lonpac turun 4.5% kepada RM91 juta berbanding RM95.3 juta yang dicapai pada FY21," katanya.


Kumpulan itu juga akan kekal fokus kepada perkembangan perniagaan untuk mengimbangi jangkaan pemampatan margin berikutan pelaksanaan Fasa 2A pelan liberalisasi pasaran.

 

Mengulas mengenai prospek 2023, kumpulan itu tetap yakin dengan keupayaannya untuk menyesuaikan diri dan berinovasi walaupun industri insurans menghadapi peningkatan tuntutan dan kos insurans semula.

 

"Pendekatan taja jamin berhemat kumpulan dan saluran pembangunan perniagaan yang pelbagai akan memudahkannya untuk mengharungi pelbagai cabaran pada FY23," katanya. - DagangNews.com