Untung bersih LPI Capital menurun akibat peningkatan tuntutan, pulangan pelaburan lemah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih LPI Capital menurun akibat peningkatan tuntutan, pulangan pelaburan lemah

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Untung bersih 2QFY22 LPI Capital Berhad jatuh kepada RM56.77 juta daripada RM83.92 juta bagi tempoh sama tahun lalu kesan daripada peningkatan tuntutan lebih tinggi daripada pemegang polisi insurans.

 

Pengerusi dan Pengasas LPI, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, syarikat itu juga mencatatkan penurunan hasil daripada premium perolehan kasar dan pendapatan pelaburan lebih rendah.

 

"Prestasi industri insurans am Malaysia terjejas akibat turun naik terhadap instrumen pelaburan dan normalisasi tuntutan ketika negara sedang beralih ke arah endemik," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Beliau berkata, asas ekonomi yang kukuh ketika ini membolehkan Malaysia menahan kesan kemelesetan ekonomi global. 

 

"Pembukaan semula semua sektor ekonomi dijangka memacu pertumbuhan semasa tetapi prospek terus menjadi sangat mencabar," katanya.

 

Pendapatan LPI menurun kepada RM397.05 juta untuk 2QFY22 berbanding RM419.99 juta tahun lalu.

 

Bagi 1H22, untung bersih terkumpul turun kepada RM118.3 juta daripada RM166.23 juta tahun lalu dengan pendapatan menurun kepada RM794.78 juta daripada RM860.78 juta.

 

"Bagi 2QFY22, kumpulan itu merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM73.5 juta berbanding RM75.8 juta pada 1QFY22.

 

"Penurunan keuntungan sebelum cukai bagi suku tersebut disebabkan pendapatan pelaburan yang lebih rendah," katanya.

 

Walaupun mencatatkan prestasi kewangan yang lebih lemah, LPI mengisytiharkan dividen interim pertamanya sebanyak 25 sen sesaham pada tahun ini berbanding 29 sen pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com