Untung bersih Matrix Concepts untuk 3QFY22 menyusut hampir 20% | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Matrix Concepts untuk 3QFY22 menyusut hampir 20%

KUALA LUMPUR 23 Feb - Keuntungan bersih tahun ke tahun (YoY) Matrix Concepts Holdings Berhad untuk 3QFY22 yang berakhir pada 31 Disember 2021 menyusut hampir 20% kepada RM60.45 juta daripada RM75.34 juta.

 

Penyusutan itu berpunca daripada jumlah pendapatan yang rendah dan penurunan bahagian hasil dalam usaha sama selain perbelanjaan cukai yang lebih tinggi.

 

Pendapatan suku tahunan juga merosot sebanyak 26.1% kepada RM233.09 juta daripada RM315.41 juta disebabkan oleh pengiktirafan yang lebih rendah daripada produk perindustrian dan komersial kumpulan.

 

Walaupun pendapatan kumpulan lebih rendah namun mereka merekodkan margin kasar  58.4% berbanding 47.3% pada tahun sebelumnya, disumbangkan oleh pembangunan matang seperti siri Tiara Sendayan yang merekodkan permintaan serta jualan yang tinggi.

 

Berbanding 2QFY22, keuntungan bersih Matrix Concepts meningkat sebanyak 16.71% daripada RM51.8 juta pada margin kasar yang lebih baik kesan daripada kelonggaran sekatan pergerakan walaupun pendapatan menyusut sebanyak 2.66% daripada RM239.48 juta.

 

Bagi sembilan bulan berakhir 31 Disember 2021, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM143.94 juta, turun 20.67% tahun ke tahun daripada RM181.46 juta. 

 

Hasil sembilan bulan juga turun 14% kepada RM638 juta daripada RM739.44 juta.

 

Matrix Concepts dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, ia terus mencatatkan prestasi jualan yang positif dan disokong oleh saluran jualan yang menggunakan penyelesaian digital seperti platform media sosial.

 

"Dengan penarikan semula sekatan aktiviti ekonomi di negara ini, perniagaan ini menantikan pemulihan sepenuhnya ekonomi negara.

 

"Kumpulan ini juga berada pada landasan tepat untuk menyamai keputusan kewangan tahun lalu dengan kembali kepada operasi normal selain mempercepatkan aktiviti pembinaan dan percaya projek berkaitan akan siap mengikut jadul sebelum berakhir FY22.

 

"Kami juga komited dalam mempertingkatkan Pembangunan Bandar Sendayan yang merangkumi Bandar Sri Sendayan, Ara Sendayan dan Tiara Sendayan di Negeri Sembilan dan Bandar Seri Impian di Kluang, Johor termasuk memperbaiki kemudahan serta infrastruktur di sana," katanya. - DagangNews.com