Untung bersih Mestron Holdings menyusut 10.1% kepada RM1.35 juta bagi 1QFY22 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Mestron Holdings menyusut 10.1% kepada RM1.35 juta bagi 1QFY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - Untung bersih Mestron Holdings Berhad menurun sebanyak 10.1% kepada RM1.35 juta pada 1QFY22 berbanding RM1.5 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Penurunan keuntungan itu disebabkan kerugian yang dicatatkan anak-anak syarikatnya akibat berlakunya turun naik harga bahan mentah seperti plat dan paip keluli kesan daripada harga keluli global.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu mencatatkan lonjakan pendapatan sebanyak 84.1% kepada RM21.4 juta pada suku ini berbanding RM11.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan pendapatan itu adalah disebabkan peningkatan permintaan untuk tiang standard dan tiang istimewa di dalam segmen telekomunikasinya.

 

Pengarah Urusan Mestron, Por Teong Eng berkata, pihaknya berbangga dengan pertumbuhan yang dicatatkan bagi suku itu walaupun berdepan persekitaran operasi yang mencabar.

 

Beliau berkata, selepas mengambil kira keupayaan pihaknya dalam penyediaan menara telekomunikasi, kumpulan itu berada dalam kedudukan terbaik untuk penyediaan infrastruktur di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan program 5G.

 

"Cabaran utama kami adalah dari luar negara iaitu ketidaktentuan konflik Rusia-Ukraine dan perintah kawalan pergerakan di beberapa bandar utama di China akibat gelombang baharu COVID-19.

 

"Kami telah mengabil langkah sewajarnya untuk mengekalkan keuntungan dan kami melihat berlakunya sedikit pengurangan dari segi margin dalam suku ini," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Beliau berkata, pelaksanaan gaji minimum di Malaysia juga akan menyebabkan kos operasi dalam sektor pembuatan meningkat.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan meneroka lebih banyak peluang baharu bagi mempelbagaikan perniagaan mereka dalam usaha mengembangkan sumber pendapatan pada masa akang datang. - DagangNews.com