Untung bersih Mi Technovation pada 2QFY24 meningkat kepada RM27.6 juta didorong hasil lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Mi Technovation pada 2QFY24 meningkat kepada RM27.6 juta didorong hasil lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Untung bersih Mi Technovation Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) meningkat kepada RM27.6 juta berbanding RM22.7 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya didorong hasil yang lebih tinggi.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil kumpulan itu meningkat kepada RM127.2 juta berbanding RM84.1 juta pada 2QFY23.

 

"Kumpulan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 51.3% berbanding asas hasil yang lebih rendah pada tahun sebelumnya.

 

"Unit perniagaan peralatan semikonduktor (SEBU) menyumbang RM72 juta mewakili RM56.6% daripada jumlah hasil manakala unit perniagaan bahan semikonduktor (SMBU) dan segmen perniagaan rumusan semikonduktor (SSBU) menyumbang masing-masing RM52.4 juta dan RM2.8 juta mewakili 41.2% dan 2.2% daripada jumlah hasil," katanya.

 

Untung bersih kumpulan itu bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24) meningkat kepada RM54.4 juta berbanding RM29.1 juta didorong peningkatan hasil kepada RM234.3 juta berbanding RM160.9 juta pada 1HFY23.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, pemulihan penuh bagi industri semikonduktor bukan sahaja lebih perlahan daripada jangkaan malah, pemulihan penuh tidak mungkin berlaku pada 2024.

 

Katanya, momentum pertumbuhan dalam cip kecerdasan buatan (AI) mungkin tidak mampan jika pendapatan daripada aplikasi AI gagal memenuhi jangkaan.

 

"Pengurusan meramalkan bahawa untung bersih pada 2HFY24 akan jauh lebih rendah daripada 1HFY24 kerana berada di bawah tekanan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan rancangan mereka untuk peruntukan tambahan kira-kira RM8.8 juta untuk kos kakitangan.  - DagangNews.com