Untung bersih MN Holdings pada FY24 melonjak hampir 2 kali ganda kepada RM17.98 juta, didorong segmen kejuruteraan pencawang | DagangNews Skip to main content

Untung bersih MN Holdings pada FY24 melonjak hampir 2 kali ganda kepada RM17.98 juta, didorong segmen kejuruteraan pencawang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Untung bersih MN Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24) melonjak hampir dua kali ganda kepada RM17.98 juta berbanding RM9.29 juta bagi tempoh sama tahun lalu didorong sumbangan lebih tinggi daripada segmen kejuruteraan pencawangnya.  

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi FY24 juga meningkat 54.83% kepada RM254.62 juta daripada RM164.45 juta setahun lalu.

 

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2024 (4QFY24), kumpulan itu merekodkan peningkatan untung bersih dua kali ganda kepada RM4.96 juta berbanding RM.14 juta bagi suku sama tahun sebelumnya 

 

Hasil bagi tempoh berkenaan juga melonjak kepada RM73.44 juta berbanding RM49.19 juta pada 4QFY23.

 

Pengarah Urusan MN Holdings, Datuk Clement Toh berkata, peningkatan hasil itu juga dibantu peningkatan untung kasar daripada RM33.77 juta kepada RM50.44 juta.

 

Beliau berkata, pihaknya berjaya menyiapkan dan terus memajukan projek pusat data yang penting sepanjang FY24.

 

Katanya, pasaran Malaysia semakin menarik pusat data dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan pihaknya kekal komited untuk memberi tumpuan kepada sektor ini.

 

"Projek kami yang sedang berjalan dan datang di pusat data sejajar dengan aliran pasaran yang semakin meningkat ini, memastikan kami kekal di barisan hadapan dalam industri dinamik ini,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pada 30 Jun 2024, kedudukan tunai MN Holdings berjumlah RM35.04 juta.

 

Mengulas mengnai pretasi 4QFY24, beliau berkata, peningkatan hasil itu disebabkan kemajuan lebih tinggi dalam aktiviti pembinaan projek Utama yang dijalankan daripada egmen utiliti bawah tanah.

 

Beliau berkata, usaha pengembangan kumpulan adalah penting bagi meningkatkan aktiviti ini yang seterusnya memberi kesan positif kepada prestasi kewangan keseluruhan.

 

Mengulas mengenai prospek, MN Holdings akan terus memajukan operasinya dalam sektor gas memandangkan sistem pengagihan gas asli di Semenanjung Malaysia sedang mengalami pengembangan ketara.

 

Pelaburan modal itu bertujuan meningkatkan rangkaian pengedaran di seluruh rantau, menyokong projek gas yang dilaksanakan di bawah segmen utiliti bawah tanah kumpulan. - DagangNews.com