Untung bersih Pentamaster meningkat kepada RM33.7 juta pada 1QFY23 didorong peningkatan hasil sebanyak 13.2% | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Pentamaster meningkat kepada RM33.7 juta pada 1QFY23 didorong peningkatan hasil sebanyak 13.2%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mei - Untung bersih Pentamaster Corporation berhad meningkat 4% kepada RM33.7 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding RM32.4 juta pada suku sama tahun sebelum ini.

 

Kumpulan itu mencatatkan peningkatan hasil sejumlah 13.2% atau RM165.3 juta bagi suku berkenaan berbanding RM146 juta yang dicatatkan tiga bulan pertama tahun lalu.

 

Hasil kumpulan itu disumbangkan oleh segmen peralatan ujian automatik (ATE) dan penyelesaian automatik kilang (FAS) yang membentuk kira-kira 67.3% dan 32.7% daripada keseluruhan pada suku pertama.

 

"Hasil daripada segmen ATE menyusut sebanyak RM3.2 juta daripada RM114.6 juta kepada RM111.4 juta pada suku pertama tahun ini.

 

"Selepas mencatatkan pertumbuhan positif bagi tiga suku tahun berturut-turut pada 2022, hasil daripada segmen FAS bagi 1QFY23 terus berkembang pada kadar yang menakjubkan sebanyak 82.7% kepada RM58.3 juta berbanding RM31.9 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama sebelumnya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, walaupun prospek ekonomi keseluruhan kekal tidak menentu dengan inflasi serta tekanan komoditi yang semakin meningkat, mereka tetap komited dalam menegakkan tiga strategi pertumbuhan merangkumi kepelbagaian produk, segmen selain kepelbagaian geografi.

 

Penubuhan syarikat di Jerman baru-baru ini sebagai sebahagian daripada inisiatif meluaskan lagi jejak geografinya di luar Malaysia, kumpulan itu akan terus membina keupayaan dalamannya dan mengembangkan aliran pendapatannya.

 

"Walaupun 2023 sama mencabar seperti 2022, daya tahan yang lebih tinggi diperlukan pada suku akan datang kerana kumpulan akan terus merebut peluang perniagaan daripada ruang teknologi dan pada masa sama memberi fokus kepada kecekapan pertumbuhan mampan dalam masa terdekat," katanya. - DagangNews.com