Untung bersih Petronas Chemicals merosot kepada RM628 juta bagi 2QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Petronas Chemicals merosot kepada RM628 juta bagi 2QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Untung bersih Petronas Chemicals Group Berhad (PetChem) merosot 66% kepada RM628 juta bagi suku kewangan kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding daripada RM1.87 bilion setahun lalu.

 

Penyusutan itu adalah sejajar dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan dan bahagian keuntungan daripada usaha sama dan syarikat bersekutu.

 

Hasil bagi suku tersebut meningkat kepada RM7.11 bilion, berbanding RM6.58 bilion sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih tinggi selain hasil daripada anak syarikat yang diambil alih baru-baru ini.

 

Bagi enam bulan terkumpul berakhir 30 Jun 2023, keuntungan bersih susut kepada RM1.16 bilion daripada RM3.95 bilion setahun sebelumnya, walaupun mencatatkan hasil lebih tinggi sebanyak RM14.67 bilion daripada RM13.22 bilion.

 

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, pada suku itu, pihaknya menghadapi kekangan luaran yang sangat mencabar. 

 

petchem
Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof

 

Katanya, loji mereka di Labuan dan Sabah mengalami penutupan yang tidak dirancang berikutan gangguan bekalan bahan mentah gas yang sementara, yang turut menyebabkan pengurangan dalam pengeluaran dan jumlah jualan. 

 

"Perkara ini menambahkan lagi tekanan kepada penurunan margin yang kami hadapi sejak Disember 2022 akibat harga dan penyebaran produk yang berkurangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mengkaji prestasinya, kumpulan itu berkata, ia merekodkan kadar penggunaan loji yang lebih tinggi sebanyak 89%, berbanding 79% sebelum ini, kerana tiada pemulihan berkanun, dan aktiviti penyelenggaraan loji yang lebih rendah dalam tempoh tersebut menghasilkan jumlah pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi.

 

Mengulas mengenai prospeknya, Mohd. Yusri berkata, hasil operasinya dijangka dipengaruhi terutamanya oleh keadaan ekonomi global, harga produk petrokimia yang mempunyai korelasi yang tinggi dengan harga minyak mentah, khususnya untuk segmen olefin dan derivatif.

 

Beliau berkata, dalam beberapa minggu ini, harga produk telah menunjukkan peningkatan dengan aliran pertumbuhan dalam harga minyak mentah dan aktiviti penambahan semula stok. 

 

"Kami menjangkakan margin untuk kekal di paras yang kurang memberangsangkan. 

 

"Kami masih perlu berhadapan dengan kos operasi yang lebih tinggi, kadar pertumbuhan ekonomi sedunia yang perlahan dan persaingan tambahan daripada aliran-aliran baharu dalam industri, khususnya di China dan Amerika Syarikat. 

 

"Permintaan untuk segmen bahan kimia khusus dijangkakan untuk kekal rendah, selari dengan pertumbuhan pengeluaran perindustrian sedunia yang perlahan, dan turut memberi kesan kepada permintaan daripada pasaran akhir," katanya.

 

Mengulas berkenaan pertumbuhan projek kumpulan, beliau berkata, penjanaan semula loji petrokimia kami di Pengerang masih berterusan dan kami semakin maju ke arah operasi pengkomersialan.

 

“Pada separuh tahun pertama ini, kami juga telah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) bagi pengambilalihan loji Maleic Anhydride (MAn) daripada BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd di Gebeng, Pahang," katanya. - DagangNews.com