Untung bersih Q2 Axiata melompat lebih 100%, umum dividen 4 sen | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Q2 Axiata melompat lebih 100%, umum dividen 4 sen

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Hasil yang lebih tinggi serta kos kewangan, pinjaman dan cukai yang lebih rendah telah mendorong keuntungan bersih syarikat telekomunikasi, Axiata Group Berhad untuk melonjak melebihi 100% pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21).

 

Kumpulan menyaksikan keuntungan bersihnya melonjak kepada RM277.8 juta daripada RM80 juta yang dicatatkan pada tempoh sama, tahun lalu.

 

Menurut makluman Axiata di Bursa Malaysia, hasil kumpulan pada suku tahun semasa pula berkembang 10.3% kepada RM6.4 bilion daripada RM5.8 bilion yang dicatatkan pada 2QFY20.

 

“Kumpulan mencatatkan hasil berjumlah RM12,454.1 juta bagi tempoh awal tahun kewangan hingga setakat ini (YTD), mewakili 5.3% peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu walaupun terdapat pelbagai bentuk penguatkuasaan ‘lockdown’ di beberapa pasaran kami. 

 

“Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) kumpulan berkembang 8.2% kepada RM5,502.7 juta dengan peningkatan ketara daripada kesemua operasi syarikat kecuali operasi mudah alih di Indonesia dan Bangladesh,” jelas Axiata.

 

Bagi suku tahun semasa, Axiata mengumumkan dividen interim pada kadar 4.0 sen sesaham serta tarikh agihan itu akan ditentukan dan didedahkan kelak.

 

Aliran tunai bebas kumpulan pula melonjak 26.4% YTD kepada RM1.6 bilion, terutamanya dipacu oleh EBITDA lebih tinggi dan kos kewangan bersih yang lebih rendah. 

 

Tambah kumpulan, kerugian bersih Axiata Digital pula menyusut sebanyak 65.1%, disumbangkan oleh perbelanjaan pemasaran untuk perkhidmatan kewangan digital yang lebih rendah, ditambah keuntungan Analisis Digital & AI (ADA) lebih tinggi.

 

Izzaddin Idris
Izzaddin Idris

 

Mengulas mengenai prestasi tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, tempoh pemulihan ini meletakkan mereka dalam landasan yang lebih baik, ketika kumpulan melaksanakan langkah-langkah untuk menambah kapasiti dan menjadikan rangkaian mereka lebih moden.

 

“Kebanyakan syarikat yang beroperasi menonjolkan prestasi kukuh pada suku tahun semasa. Ini termasuk Celcom yang terus mencatatkan keuntungan dipacu oleh program transformasi digital.

 

“Separuh pertama tahun ini merupakan tempoh pelaksanaan Axiata 5.0 secara berdisiplin, dan pencapaian ini hanya satu permulaan,” katanya. - DagangNews.com