Untung bersih Q2 Kenanga meningkat 49.4% kepada RM30.6 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Q2 Kenanga meningkat 49.4% kepada RM30.6 juta

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong

 

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Kenanga Investment Bank Bhd. merekodkan untung selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATNCI) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021 sebanyak RM30.6 juta.

 

Keuntungan bersih itu meningkat 49.4% daripada RM20.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagi tempoh 6 bulan berakhir 30 Jun 2021, keuntungan bersih meningkat 4 kali ganda kepada RM64.7 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, sebanyak RM13.5 juta.

 

Hasil disatukan bagi suku kedua berjumlah RM212.6 juta, lebih tinggi daripada RM210.6 juta pada suku kedua 2020. 

 

Bank pelaburan bebas itu turut mencatat pulangan tahunan ke atas ekuiti (ROE) adalah sebanyak 12.8%, berbanding sepanjang 2020 sebanyak 10.7%. 

 

Perolehan yang lebih kukuh sebahagian besarnya disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada perniagaan pembrokeran saham, pelaburan dan pengurusan kekayaan selain bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada usaha sama dengan Rakuten Trade.

 

Lebih separuh daripada keuntungan sebelum cukai (PBT) disumbangkan oleh segmen pembrokeran saham, yang terus menjadi penyumbang perolehan utama kepada kumpulan. 

 

PBT daripada segmen ini meningkat 45.3% kepada RM20 juta pada suku kedua, berbanding RM13.7 juta dalam tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pendapatan faedah bersih lebih tinggi dan juga pendapatan dagangan dan pelaburan. 

 

Sumbangan PBT daripada bahagian pelaburan dan pengurusan kekayaan meningkat lebih dua kali kepada RM6.2 juta disebabkan oleh penjanaan pendapatan yuran pengurusan lebih tinggi disokong oleh peningkatan aset di bawah kekuatan agensi pengurusan dan jualan. 

 

Rakuten Trade, usaha sama antara Kenanga dan  broker ekuiti Malaysia dalam talian sepenuhnya yang pertama, terus mencatatkan pembukaan akaun bulanan purata yang kukuh sebanyak 6,800 akaun pada suku kedua ini.

 

Pada akhir Jun 2021, Rakuten mempunyai jumlah keseluruhan 217,400 akaun, iaitu 51,600 melebihi jumlah yang diperolehnya pada tahun lalu. 

 

Ditambah dengan peningkatan perniagaan, ia turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan bersih kumpulan. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong berkata, ekonomi skala, terutama dalam bahagian pembrokeran saham dan Rakuten Trade, telah membantu meningkatkan keuntungan kumpulan. 

 

Katanya, dengan infrastruktur digital berada pada kedudukan yang kukuh, kos memperoleh dan mengekalkan pelanggan baharu telah berkurang seiring dengan perkembangan kumpulan.

 

“Meskipun nilai dagangan harian purata di Bursa Malaysia telah berkurang berikutan kebimbangan sekatan pergerakan yang timbul akibat penularan semula jangkitan COVID-19, kami terus berharap bahawa ekonomi akan kembali pulih dengan segera berikutan pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan terus mencatatkan peningkatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Melihat ke hadapan, beliau berkata, Kenanga akan kekal memberi tumpuan pada usaha memperkukuhkan asas perniagaan dan mengembangkan penawaran semasa bagi memastikan kumpulan kekal berdaya tahan. - DagangNews.com