Untung bersih Q2 Power Root susut 33.7%, kekal berhati-hati dengan prospek FY22 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Q2 Power Root susut 33.7%, kekal berhati-hati dengan prospek FY22

 

 

 

KUALA LUMPUR 23 Nov - Untung bersih Power Root Bhd. bagi suku kedua (Q2) berakhir 30 September 2021 susut 33.7% kepada RM5.6 juta berbanding RM8.45 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat kepada RM80.83 juta daripada RM79.68 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Peningkatan ini terutamanya didorong pendapatan dalam pasaran tempatan yang lebih tinggi pada suku dikaji berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Di sebalik pendapatan pendapatan lebih tinggi ini, kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM7 juta pada suku berkenaan, lebih rendah berbanding tempoh sama tahun sebelumnya berjumlah RM11.7 juta. 

 

"Keadaan ini disebabkan perbelanjaan yang lebih tinggi dalam perbelanjaan pengiklanan dan pemasaran pada suku semasa," katanya. 

 

Bagi perbandingan suku ke suku pula, pendapatan Power Root pada suku kedua meningkat 8.2% kepada RM80.83 juta berbanding suku sebelumnya, sebanyak RM74.7 juta disumbangkan terutamanya menerusi pasaran tempatan dan eksport yang lebih tinggi.

 

Untuk tempoh kumulatif 6 bulan berakhir 30 September 2021, untung bersih kumpulan merosot 60.3% kepada RM7.61 juta daripada RM19.19 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan juga susut kepada RM155.5 juta berbanding RM163.6 juta.

 

Mengenai prospek kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 (FY22), Power Root berkata, ia kekal berhat-hati terutama dengan pelaksanaan cukai gula terhadap minuman pracampuran yang diumumkan dalam Bajet 2022. 

 

"Selain itu, gangguan rantaian bekalan global yang masih berterusan, kenaikan harga bahan mentah dan juga kekurangan tenaga kerja mengakibatkan kos pengeluaran yang lebih tinggi

 

"Namun, di sebalik cabaran ini, kami akan terus meningkatkan kecekapan operasi dan mengoptimumkan pengedaran tenaga jualan kami," jelasnya. - DagangNews.com