KUALA LUMPUR 22 Feb - Petronas Gas Bhd. merekodkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM452.63 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, susut 10% daripada RM503.35 juta bagi tempoh sama 2020.
Sebaliknya, pendapatan meningkat kepada RM1.5 bilion daripada RM1.39 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), untung bersihnya susut sedikit kepada RM1.99 bilion daripada RM2.01 bilion.
Hasil bagi tempoh itu bagaimanapun, meningkat sedikit kepada RM5.65 bilion daripada RM5.59 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Ini terutamanya disebabkan oleh hasil yang lebih tinggi daripada segmen utiliti, dengan sumbangan menggalakkan daripada jualan wap kepada pelanggan baharu.
Segmen regasifikasi turut menyumbang kepada hasil yang lebih tinggi untuk tahun itu, didorong oleh aliran hasil baharu daripada perkhidmatan sampingan gas asli cecair (LNG).
Melihat kepada prestasi FY21) lembaga pengarah telah meluluskan pembayaran dividen interim keempat sebanyak 22 sen sesaham biasa berjumlah RM435.3 juta, dan dividen interim khas sebanyak 10 sen sesaham biasa berjumlah RM197.9 juta.
Menurut Petronas Gas, terminal regasifikasi LNG di Sungai Udang, Melaka (RGTSU) dan Pengerang, Johor (RGTP) mengekalkan prestasi kebolehpercayaan yang kukuh iaitu hampir 100% pada tahun berkenaan.
Ia turut menyatakan hasil segmen regasifikasi meningkat sedikit sebanyak 1% atau RM13.5 juta dengan pengenalan aliran hasil baharu daripada pemuatan semula LNG di RGTSU dan pemuatan trak di RGTP pada tahun kewangan 2021.
Sementara itu, loji utiliti kumpulan mencapai 100% kebolehpercayaan penghantaran produk untuk wap, elektrik dan gas industri pada tahun berkenaan.
Kumpulan menjangkakan prestasinya pada 2022 kekal berdaya tahan walaupun berdepan pandemik yang berterusan.
"Ini memandangkan model perniagaan dan kontrak jangka panjang telah memastikan aliran hasil yang stabil, terutamanya untuk pemprosesan gas, pengangkutan gas dan segmen perniagaan regasifikasi," katanya. - DagangNews.com