Untung bersih Radium Development bagi 1QFY24 meningkat sedikit kepada RM2.3 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Radium Development bagi 1QFY24 meningkat sedikit kepada RM2.3 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Untung bersih Radium Development Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) meningkat sedikit kepada RM2.3 juta berbanding RM2.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong sumbangan hasil daripada dua projek semasa, Suite Canselor and Residensi Desa Timur.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan juga meningkat kepada RM27.5 juta berbanding RM25.3 juta pada 1QFY23.

 

Katanya, kumpulan itu menerusi Radium Global Sdn Bhd Berjaya mengamil alih tanah di Jalan Klang Lama pada Jun 2023 dan bakal melancarkan projek pada suku ketiga tahun ini nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM500 juta.

 

Tambahan pula, RM109.3 juta daripada hasil Tawaran Awam Permulaan (IPO) kumpulan diperuntukkan untuk pembangunan sebuah hotel butik 145 bilik yang disepadukan dengan ke dalam projek pembangunan bercampur di Ampang.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Gary Gan Kah Siong berkata, langkah strategik itu bertujuan memanfaatkan sektor pelancongan di Kuala Lumpur dengan melengkapkan portfolio pembangunan hartanah sedia ada. 

 

"Pengambilalihan tanah dan penerokaan ke dalam sektor perhotelan menunjukkan komitmen untuk meluaskan jejak kami dan mempelbagaikan aliran pendapatan kumpulan.

 

"Kami secara aktif meneroka perkara baharu bagi meningkatkan tawaran kami dan mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, pada 28 November 2023, kumpulan itu telah memeterai perkongsian strategik dengan MyCharge EV Sdn Bhd bagi menyepadukan pengecas kenderaan elektrik (EV) merentasi perkembangan semasa dan akan datang. 

 

Kumpulan itu juga telah memasang dua pengecas EV di Vista Sentul Residences pada April 2024.

 

Gary berkata, perkongsian Radium dengan dengan MyCharge EV mewakili langkah penting ke arah menerima kemampanan dan inovasi

 

"Kami komited untuk memasukkan amalan dan teknologi mesra alam ke dalam pembangunan kami, memastikan masa depan yang lebih hijau untuk semua," katanya. - DagangNews.com