Untung bersih RHB Bank suku ke suku susut 9.4% kepada RM635.59 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih RHB Bank suku ke suku susut 9.4% kepada RM635.59 juta

 

 

KUALA LUMPUR 30 Nov - Untung bersih RHB Bank Bhd. bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 meningkat kepada RM635.59 juta berbanding RM622.25 juta bagi tempoh sama tahun lalu terutamanya didorong jumlah pendapatan yang lebih tinggi. 

 

Bagi tempoh itu, pendapatan meningkat kepada RM3.03 bilion daripada RM2.95 bilion bagi tempoh sama tahun lalu, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Bagaimanapun, bagi perbandingan suku ke suku, untung bersih kumpulan susut 9.4% kepada RM635.59 juta daripada RM701.3 juta yang direkodkan pada suku sebelumnya berakhir 30 Jun 2021. 

 

Penurunan ini disebabkan kerugian pengubahsuaian dan elaun kerugian kredit yang lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi dengan pendapatan berasaskan dana bersih dan bukan dana yang lebih tinggi.

 

Untuk tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September 2021, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM1.98 bilion, meningkat 24.7% berbanding RM1.59 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Sebaliknya, pendapatan bagi tempoh ini susut 5.94% kepada RM8.86 bilion berbanding RM9.42 bilion. 

 

Namun, peningkatan pendapatan bagi tahun ke tahun ini disebabkan pendapatan berasaskan dana bersih dan kerugian pengubahsuaian yang lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi dengan elaun kerugian kredit, perbelanjaan operasi yang lebih tinggi dan pendapatan berasaskan bukan dana yang lebih rendah.

 

Pendapatan berasaskan dana bersih bagi tempoh itu bertambah baik kepada RM4.34 bilion dipacu oleh pengurusan kos pendanaan yang lebih proaktif, menurun 28.9% tahun ke tahun disokong pertumbuhan akaun simpanan dan semasa (CASA) sebanyak 4.8%.

 

Menurut RHB Bank, kumpulan akan meneruskan momentum yang positif bagi tempoh 9 bulan pertama 2021 didorong asas yang kukuh. 

 

"Ini memandangkan kami kekal sebagai bank yang mempunyai modal terbaik dalam industri dengan tahap kecairan yang kukuh. 

 

"Namun begitu, kumpulan akan terus berwaspada, memantau kualiti aset dan membuat peruntukan kredit proaktif apabila perlu, di samping berusaha mengekalkan pendirian berhemat kami," jelasnya. - DagangNews.com