Untung bersih Rhong Khen turun 68.3% kepada RM3.3 juta pada 1QFY24 berbanding RM10.4 juta pada tahun sebelumnya | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Rhong Khen turun 68.3% kepada RM3.3 juta pada 1QFY24 berbanding RM10.4 juta pada tahun sebelumnya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - Untung bersih Rhong Khen International Berhad menyusut 68.3% kepada RM3.3 juta pada suku pertama berakhir 30 September 2023 (1QFY24) berbanding RM10.4 juta pada tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan itu juga menyusut sebanyak 48.5% kepada RM120.7 juta berbanding RM234.2 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

"Penurunan ini disebabkan oleh jualan yang lebih rendah yang dicatatkan oleh semua bahagian berikutan permintaan lemah yang berpanjangan daripada pasaran eksport utama kami iaitu Amerika Syarikat (AS) diimbangi dengan pengukuhan dolar AS berbanding ringgit sebanyak 3.2%.

 

"Penyusutan keuntungan disebabkan kos operasi yang lebih tinggi dalam semua bahagian kesan daripada pengurangan pengeluaran dan jualan lebih tinggi bagi produk dengan margin rendah pada suku berkenaan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, prospek ekonomi global dijangka kekal suram dan tidak menentu kesan risiko geopolitik berpanjangan selain kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) kekal tinggi dan terus melembapkan jualan perabot di negara itu.

 

"Kumpulan akan kekal berdaya tahan dan berwaspada dalam menangani ketidaktentuan ini dalam semua keputusan.

 

"Kumpulan juga akan menyelaraskan strategi kawalan kos, meningkatkan kecekapan pengeluaran, pembangunan produk baharu dan reka bentuk baharu dengan situasi pasaran semasa," katanya.

 

Lembaga Pengarah Rhong Khen percaya mereka mampu menguruskan cabaran persekitaran pasaran semasa dan akan kekal menguntungkan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024. - DagangNews.com