KUALA LUMPUR 19 Jun - Untung bersih Scientex Packaging (Ayer Keroh) Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 April 2024 (3QFY24) menyusut sedikit kepada RM10.2 juta berbanding RM10.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya kesan tekanan inflasi dan sentimen pasaran yang lemah.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan bagaimanapun meningkat sebanyak 3% kepada RM182.85 juta berbanding RM177.49 juta pada tahun sebelumnya.
Katanya, peningkatan itu didorong jualan lebih tinggi dalam pasaran eksport dengan segmen itu menyumbang RM90.1 juta atau 49.3% daripada hasil kumpulan manakala pasaran domestik menyumbang baki RM92.76 juta atau 50.7% daripada hasil keseluruhan.
"Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 April 2024 (9MFY24), untung bersih kumpulan itu susut kepada RM26.3 juta berbanding RM36.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dan hasil juga susut kepada RM531.7 juta berbanding RM589.5 juta," katanya.
Kumpulan itu berkata, prospek global kekal mencabar berikutan ketidaktentuan politik yang berterusan, tekanan inflasi dan sentimen pasaran yang lemah.
Mereka bagaimanapun komited untuk mengekalkan kecekapan operasi dan daya saingnya, melalui inisiatif seperti pengoptimuman penggunaan mesin, kawalan pembaziran dan meningkatkan produktiviti tenaga kerja.
Dengan kapasiti dan keupayaan operasi yang mencukupi, kumpulan itu berusaha memberi tumpuan kepada inovasi dan membangunkan produk pembungkusan fokus kepada pelanggan supaya dapat memenuhi portfolio rumusan pembungkusan kitar semula yang semakin meningkat.
"Sebagai sebahagian daripada usahanya ke arah penggunaan tenaga mampan, kumpulan juga sedang melaksanakan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) atas bumbung.
"Pemasangan dijadualkan bermula pada separuh kedua tahun ini dan dijangka siap menjelang Januari 2025," katanya. - DagangNews.com