Untung bersih Scientex Packaging menjunam 98.7% kepada RM149,000 pada 4QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Scientex Packaging menjunam 98.7% kepada RM149,000 pada 4QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Untung bersih Scientex Packaging (Ayer Keroh) Berhad menjunam 98.7% kepada RM149,000 pada suku keempat berakhir 31 Julai 2023 (4QFY23) berbanding RM11.4 juta setahun sebelumnya.

 

Kerugian itu disebabkan oleh kemerosotan nilai muhibah yang lebih tinggi sebanyak RM22.71 juta untuk operasinya di Myanmar.

 

"Hasil suku tahunan bagi tempoh itu turun 3.4% kepada RM185.32 juta berbanding RM191.84 juta setahun lalu, berikutan permintaan yang lebih rendah daripada pasaran eksport.

 

"Pasaran domestik menyumbang RM99.50 juta atau 53.7% daripada hasil kumpulan, dengan pasaran eksport RM85.82 juta atau 46.3% daripada jumlah hasil," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Syarikat itu mengisytiharkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 2.5 sen sesaham biasa, yang akan dibayar pada 22 Jan 2024.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (FY23), hasil kumpulan meningkat kepada RM774.78 juta, berbanding RM774.05 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Jualan domestik menyumbang RM407.66 juta atau 52.6%, manakala eksport menyumbang baki RM367.12 juta atau 47.4% daripada hasilnya.

 

"Kumpulan itu melaporkan penurunan sebanyak 16.7% dalam keuntungan bersih setahun penuh sebanyak RM35.94 juta, berbanding RM43.15 juta yang dicatatkan pada FY22.

 

"Walaupun pasaran dijangka terus mencabar dalam masa terdekat, kumpulan itu kekal fokus pada strategi pertumbuhan jangka panjangnya dan optimis bahawa mereka dapat mengekalkan prestasinya untuk tahun kewangan akan datang," katanya. - DagangNews.com