Untung bersih SD Plantation melonjak 20% | DagangNews Skip to main content

Untung bersih SD Plantation melonjak 20%

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 20 Mei - Sime Darby Plantation Berhad (SD Plantation) merekodkan prestasi yang lebih baik pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021 didorong harga minyak sawit mentah yang tinggi, pengeluaran tandan buah segar dan segmen hiliran yang positif.

 

Ini menyaksikan untung bersih syarikat perladangan itu melonjak 20% kepada RM562 juta berbanding RM468 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Bagi tempoh itu, perolehan syarikat turut meningkat 21% kepada RM3.67 bilion daripada RM3.04 bilion. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Pengerusi SD Plantation, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, meskipun kenaikan harga minyak sawit mentah memberi kelebihan kepada industri, tetapi ia turut didorong oleh prestasi operasi syarikat di sebalik menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

 

Katanya, syarikat berada dalam landasan yang betul untuk mencapai sasaran bagi keseluruhan tahun ini berdasarkan prestasi suku pertama. 

 

"Dengan situasi semasa pandemik ini di seluruh dunia termasuk Malaysia, kami menyedari ancaman risiko wabak ini dan kumpulan akan terus berwaspada bagi melindungi pekerja dan operasi," katanya.

 

Bagi tempoh itu, segmen hiliran kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) berjumlah RM543 juta berbanding RM288 juta bagi tempoh sama tahun lalu didorong harga minyak sawit mentah dan isirung yang tinggi serta pengeluaran tandan buah segar. 

 

Ia turut menyaksikan operasi hiliran kumpulan, Sime Dary Oils mencatat peningkatan 20% PBIT kepada RM107 juta disumbang menerusi prestasi yang bertambah baik di rantau Asia Pasifik. 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, operasi Sime Darby Oils mendapat manfaat daripada kenaikan harga di pasaran, tetapi permintaan masih belum pulih daripada impak COVID-19.

 

Beliau memberitahu, kumpulan juga sedang bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan bagi menangani isu perintah tahanan pelepasan (WRO) yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) akhir tahun lalu. 

 

"Kumpulan telah melantik penilai pihak ketiga untuk menjalankan penilaian komprehensif ke atas semua operasi di Malaysia, yang dijangka lengkap pada Jun," jelasnya. 

 

Mengenai harga minyak sawit mentah, ia dijangka kembali melemah pada separuh kedua tahun ini apabila pengeluaran meningkat setelah merekodkan paras tertinggi pada suku pertama. 

 

Dari segi operasi, kumpulan menjangkakan pengeluaran semakin bertambah baik dan mengekalkan usaha bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti menerusi pendigitalan, automasi dan mekanisasi. 

 

"Tanpa sebarang keadaan di luar dijangka, kumpulan mengharapkan prestasi bagi tahun kewangan berakhir  31 Disember 2021 semakin kukuh," katanya. - DagangNews.com