Untung bersih Sime Darby meningkat dua kali ganda kepada RM622 juta pada 4QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Sime Darby meningkat dua kali ganda kepada RM622 juta pada 4QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Untung bersih Sime Darby Berhad meningkat dua kali ganda kepada RM622 juta atau 9.1 sen sesaham bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2023 (4QFY23), berbanding RM278 juta atau 4.1 sen sesaham pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan bagi suku itu dirangsang oleh keuntungan daripada penjualan hartanah segmen motornya sebanyak RM177 juta (setelah pelarasan cukai tertunda) dan pendapatan dividen RM194 juta.

 

Kumpulan itu berkata, pendapatan suku tahunannya meningkat 22.44% kepada RM13.29 bilion daripada RM10.85 bilion.

 

Ia menjadikan jumlah pembayaran dividen bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) kepada 13 sen sesaham atau RM886 juta, berbanding 11.5 sen sesaham atau RM783 juta pada FY22.

 

Dalam segmen perindustrian, keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) meningkat 33.9% kepada RM375 juta daripada RM280 juta disebabkan terutamanya oleh keuntungan yang lebih tinggi daripada Australasia. 

 

sime
Datuk Jeffri Salim Davidson

 

Ia didorong daripada hasil bahagian yang lebih tinggi (disokong oleh kenaikan harga alat ganti dan penyelenggaraan peralatan perlombongan) dan sumbangan keuntungan daripada Onsite Rental Group Ltd, yang diperoleh pada April 2023.

 

PBIT segmen motornya melonjak 104% kepada RM555 juta daripada RM272 juta atas pelupusan hartanah dan pendapatan dividen yang lebih tinggi.

 

Pada asas setahun penuh, untung bersih Sime Darby meningkat sebanyak 32.2% pada FY23 kepada RM1.46 bilion daripada RM1.1 bilion pada tahun sebelumnya, apabila hasil meningkat 13.61% kepada RM48.29 bilion daripada RM42.5 bilion pada FY22.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, Sime Darby bersedia untuk meraih permintaan yang semakin meningkat merentas sumber, infrastruktur dan sektor tenaga di Australia melalui pemerolehan Onsite Rental.

 

"Kami berharap untuk melihat Onsite terus menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan.

 

"Sementara itu, pengumuman mengenai pengambilalihan Cavpower Group, peniaga Caterpillar di Australia Selatan, adalah peluang yang jarang berlaku untuk mengembangkan jejak perindustrian kami di Australia," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai pengambilalihan kepentingan 61.2% dalam UMW Holdings Berhad, Jeffri berkata, ia akan membantu kumpulan itu mengukuhkan perniagaan automotifnya di Malaysia dan membolehkannya memainkan peranan yang lebih besar dalam industri automotif tempatan.

 

"Perjanjian ini mengubah permainan, kerana ia akan memberi kami kehadiran penuh merentasi spektrum automotif dengan penambahan dua jenama yang sangat diidamkan ke dalam portfolio motor kami," katanya. - DagangNews.com