Untung bersih Southern Cable meningkat hampir dua kali ganda kepada RM5.1 juta pada 1QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Southern Cable meningkat hampir dua kali ganda kepada RM5.1 juta pada 1QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Pengeluar kabel terkemuka, Southern Cable Group Berhad membuat permulaan kukuh tahun ini dengan keuntungan bersih RM5.1 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) peningkatan hampir dua kali ganda daripada 2.6 juta pada tahun sebelumnya.

 

Peningkatan keuntungan itu didorong campuran produk yang lebih baik, kecekapan operasi yang dipertingkat dan harga jualan yang diselaraskan bagi mencerminkan harga bahan mentah terkini.

 

Hasil kumpulan bagi suku berkenaan melonjak 30.1% kepada RM240.9 juta berbanding RM185.1 juta sebelumnya, didorong oleh peningkatan jumlah jualan daripada pelbagai sektor seperti pengagihan dan penghantaran kuasa, infrastruktur dan lain-lain.

 

Jumlah jualan yang lebih tinggi pada 1QFY23 juga disokong oleh peningkatan kecekapan pengeluaran.

 

Kumpulan menambah tenaga kerja pada suku keempat 2022, yang meningkatkan kapasiti kabel dan wayar sebanyak 15% kepada 38,780 kilometer setahun.

 

Pengarah Urusan Southern Cable, Tung Eng Hai berkata, dengan kapasiti yang diperbesarkan, pihaknya bersedia memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk kabel dan wayar daripada pelbagai sektor. 

 

"Kejayaan meraih kontrak bernilai lebih RM120 juta setakat ini daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) menunjukkan kembalinya fasa pembinaan semula infrastruktur.

 

"Pendirian pelanggan ini, bersama dengan kapasiti kami yang lebih besar dan lebih cekap akan menyumbang ke arah pertumbuhan berterusan kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan mempunyai RM692.7 juta pesanan untuk dipenuhi sehingga 2024.

 

Pesanan utama termasuk kontrak bekalan kabel kuasa dan konduktor daripada TNB dan Sarawak Energy Berhad, serta pesanan lain daripada kontraktor EPCC (Kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan), dan penjual semula.

 

Dari segi geografi, hasil domestik kumpulan mencatatkan peningkatan 27.6% kepada RM227.1 juta pada 1QFY23 daripada RM177.9 juta sebelumnya sejajar dengan peningkatan aktiviti ekonomi negara.

 

Hasil dari luar negara meningkat 91.9% kepada RM13.8 juta berbanding RM7.2 juta sebelumnya, apabila Kumpulan menghantar lebih banyak pesanan kepada Amerika Syarikat (AS).

 

Beliau berkata, peningkatan dalam pesanan oleh pelanggan AS yang telah menyumbang dengan ketara kepada jualan luar negara 1QFY23. 

 

"Kami berharap dapat mengekalkan momentum jualan kami ke AS dan menyasarkan lebih ramai pelanggan, di samping meningkatkan jualan kami di pasaran luar negara yang lain," katanya. - DagangNews.com