Untung bersih suku kedua TM susut 20.5% kepada RM218.5 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih suku kedua TM susut 20.5% kepada RM218.5 juta

Telekom Malaysia Bhd (TM). Kredit gambar Malay Mail

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) syarikat Telekom Malaysia Bhd (TM) susut 20.5% atau RM56.2 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21).

 

Penyusutan tersebut menjadikan PATAMI bagi tempoh berkenaan berkurang kepada RM218.5 juta berbanding RM274.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

TM dalam maklumannya di Bursa Malaysia memberitahu, penyusutan tersebut disebabkan oleh pertukaran mata wang asing berjumlah RM3.1 juta pada suku semasa berbanding RM19.2 juta pada suku tahun lalu.

 

Bagi prestasi separuh pertama 2021 (1H2021) pula, TM merekodkan hasil yang lebih kukuh dengan peningkatan sebanyak 8.2% kepada RM5.57 bilion, berbanding RM5.15 biion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

TM dalam satu kenyataan memberitahu, pencapaian tersebut dipacu oleh pertumbuhan merentasi semua segmen perniagaan iaitu unifi, TM ONE dan TM WHOLESALE.

 

"Susulan hasil lebih tinggi dan kecekapan kos yang lebih baik ini, EBIT kumpulan naik 29.9% kepada RM977.3 juta daripada RM752.4 juta tahun lalu.

 

"Berikutan itu, PATAMI kumpulan meningkat 27.3% kepada RM544.0 juta daripada RM427.2 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu," jelas TM.

 

Mengulas berkaitan prestasi berkenaan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar memberitahu, pihaknya telah mencatatkan prestasi yang kukuh bagi setengah tahun pertama 2021 dan berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran 2021.

 

"Berikutan suku pertama yang memberangsangkan, kami mencatatkan penambahbaikan ketara dalam hasil dan keberuntungan 1H 2021 kami berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

 

"Ini dipacu oleh hasil lebih tinggi yang dicatatkan oleh semua segmen pelanggan kami – unifi, TM ONE dan TM WHOLESALE serta tahap kecekapan kos yang lebih baik.

 

"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pastinya telah mempengaruhi landskap perniagaan kami dan operasi pelanggan, tetapi kami gembira dengan momentum program-program nilai kami serta komitmen barisan hadapan kami," katanya.

 

Perniagaan unifi merekodkan beberapa pencapaian penting operasi dengan lebih daripada 210,000 pelanggan baharu diaktifkan pada suku kedua tahun 2021 (2Q2021). 

 

Ia merupakan jumlah pengaktifan unifi tertinggi dalam tempoh satu suku sepanjang 11 tahun sejak pelancarannya. 

 

unifi mencatatkan pencapaian penting iaitu 2.0 juta pelanggan pada bulan Mei 2021 dan menjelang akhir Jun, jumlah  keseluruhan pelanggan jalur lebar tetap telah meningkat kepada 2.55 juta dengan pertumbuhan mantap 15% sepanjang 12 bulan sejak Jun 2020.

 

Bagi TM ONE pula, segmen perniagaan itu terus menjadi pemacu digital dan rakan yang diyakini untuk pelanggan perusahaan dan sektor awam dengan menyediakan sambungan yang dipercayai dan melaksanakan projek-projek pelanggan baharu pada 1H2021. 

 

Sementara itu, TM WHOLESALE di peringkat domestik meneruskan momentum pertumbuhannya sebagai rakan infrastruktur pilihan bagi perkhidmatan akses Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB). 

 

Di peringkat antarabangsa, TM WHOLESALE memperkukuhkan ekosistem usahasamanya dengan lebih banyak syarikat telekomunikasi global dan syarikat berskala hiper untuk perkhidmatan Ethernet Antarabangsa. - DagangNews.com