Untung bersih suku ketiga Hong Leong Bank meningkat 1.73% kepada RM784.8 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih suku ketiga Hong Leong Bank meningkat 1.73% kepada RM784.8 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mei - Hong Leong Bank Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM784.8 juta atau peningkatan 1.73% untuk suku ketiga berakhir 31 Mac 2022 berbanding RM771.47 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Pendapatan kumpulan itu bagaimanapun menurun sebanyak 2.8% kepada RM1.35 bilion daripada RM1.39 bilion.

 

Kumpulan itu berkata, keuntungan yang tinggi itu adalah disebabkan elaun yang lebih rendah untuk kerugian rosot nilai ke atas pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan sebanyak RM62.9 juta dan bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat bersekutu sebanyak RM70.7 juta.

 

Bagaimanapun, ia dikurangkan oleh pendapatan bersih yang lebih rendah sebanyak RM37.7 juta, perbelanjaan operasi yang lebih tinggi sebanyak RM5.6 juta dan elaun untuk kerugian rosot nilai ke atas pelaburan kewangan dan aset lain sebanyak RM300,000.

 

Bagi tempoh semilan bulan pertama berakhir 31 Mac 2022, untung bersih kumpulan meningkat sebanyak 9.69% kepada RM2.38 bilion daripada RM2.17 bilion manakala pendapatan mereka menurun 0.86% kepada RM4.1 bilion berbanding RM4.13 bilion.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Domenic Fuda berkata, walaupun berdepan kenaikan iflasi, COVID-19 dan ketidaktentuan geopolitik, prospek pemulihan ekonomi akan dipacu oleh permintaan luar, permintaan domestik swasta tempatan dan pembukaan semula sempadan antarabangsa. 

 

"Selaras dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi, pihak bank dijangka menerima peningkatan ketara daripada pelanggan berkaitan pinjaman untuk suku tahun berikutnya.

 

"Berdasarkan kepada situasi semasa, kami menyesuaikan diri untuk meraih pertumbuhan baharu dan melaksanakan keutamaan strategik kami untuk menyampaikan hasil yang positif kepada semua pemegang taruh kami.

 

"Berdasarkan keputusan kewangan yang dicapai pada 9MFY22, keuntungan selepas cukai (PBT) kami bertambah baik sebanyak 9.7% kepada RM2.38 bilion disokong oleh permintaan kukuh dari segi pinjaman, kecekapan kos pengurusan dan pelbagai lagi," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini. 

 

Mengulas mengenai ekonomi masa hadapan, Fuda berkata, ekonomi Malaysia berada di landasan terbaik untuk pemulihan dan akan disokong oleh permintaan domestik dengan perbelanjaan semakin meningkat selepas pasaran tenaga kerja menjadi semakin baik selain peningkatan harga komoditi.

 

"Terdapat juga tanda-tanda pemulihan aktiviti pelaburan selepas pembukaan semula. Ia akan membantu menampan sebarang ketidaktentuan pasaran seperti konflik Rusia-Ukraine dan kawalan pergerakan di China," katanya. - DagangNews.com