Untung bersih suku ketiga Tiong Nam melonjak RM44.7 juta daripada RM194,000 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih suku ketiga Tiong Nam melonjak RM44.7 juta daripada RM194,000

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Feb - Keuntungan bersih Tiong Nam Logistics Holdings Bhd melonjak kepada RM44.7 juta pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2023 (3QFY24) berbanding RM194,000 tahun lalu dipacu oleh keuntungan nilai saksama pelaburan hartanah.

 

Perolehan kumpulan berjumlah RM188.9 juta, meningkat sedikit daripada RM187.5 juta setahun lalu.

 

Tiong Nam berkata, segmen logistik dan pergudangan, penyumbang hasil utamanya, mencatatkan hasil stabil sebanyak RM183.7 juta pada 3QFY24 berbanding RM185.4 juta sebelumnya atas permintaan berdaya tahan merentas pelbagai industri.

 

Bagi tempoh sembilan bulan FY24 (9MFY24), keuntungan bersih Tiong Nam meningkat kepada RM46.7 juta berbanding RM2.2 juta sebelumnya, didorong oleh keuntungan nilai saksama daripada pelaburan hartanah yang terdiri daripada aset gudang.

 

Hasil pula meningkat 4.2 peratus kepada RM565.2 juta dalam 9M24 daripada RM542.4 juta setahun lalu.

 

Pengarah Urusan Tiong Nam, Ong Yoong Nyock berkata prestasi berdaya tahan bagi segmen logistik dan pergudangannya menggariskan komitmen syarikat terhadap perkhidmatan pelanggan yang luar biasa.

 

Yoong Nyock berkata, syarikat itu mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian logistik menyeluruh terkemuka di Asia Tenggara, memudahkan rantaian bekalan yang stabil dan cekap untuk perusahaan domestik dan multinasional.

 

"Pembinaan gudang baharu kami yang berterusan dan perluasan terancang memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat dan menyokong pertumbuhan hasil masa hadapan.

 

"Inisiatif ini akan meningkatkan kapasiti kami untuk memenuhi keperluan pelanggan kami dan menyediakan kawalan operasi yang lebih besar, sambil mengurangkan kos sewa jangka panjang.

 

"Dengan mengutamakan kepuasan pelanggan, melabur dalam pengembangan yang disasarkan, dan mengoptimumkan kecekapan operasi, kami berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran pasaran dan memanfaatkan peluang yang muncul," katanya.

 

Pembesaran gudang Tiong Nam yang berterusan merangkumi pembinaan tiga gudang baharu di Johor Bahru dan Singapura akan siap pada FY25.

 

Ini akan menyaksikan jumlah kapasiti pergudangan syarikat mencapai 8.8 juta kaki persegi pada FY25 daripada 7.7 juta kaki persegi pada 3QFY24. - DagangNews.com