Untung bersih suku pertama Public Bank turun 8.59% kepada RM1.4 bilion | DagangNews Skip to main content

Untung bersih suku pertama Public Bank turun 8.59% kepada RM1.4 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mei - Untung bersih Public Bank Berhad untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2022 menurun 8.59% kepada RM1.4 bilion berbanding RM1.53 bilion pada suku sama tahun lalu akibat pengenalan Cukai Makmur.

 

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, pendapatan mereka untuk suku berkenaan menurun 2.84% kepada RM4.89 bilion berbanding RM5.03 bilion pada tahun lalu.

 

Perbandingan suku tahun menyaksikan untung bersih kumpulan meningkat 1.28% daripada RM1.38 bilion pada 4QFY21, manakala pendapatan menurun sedikit iaitu 0.59% daripada RM4.89 bilion.

 

Pada 1QFY22, pendapatan faedah bersih meningkat sebanyak RM30.8 juta atau 1.5%, manakala pendapatan lain meningkat sebanyak RM42.6 juta atau 60.8%, yang disebabkan pertukaran asing yang lebih tinggi.

 

Mengulas mengenai prestasi kewangan itu, Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Dr. Teh Hong Piow berkata, persekitaran operasi masih kekal sangat mencabar.

 

"Perkembangan kewangan Public Bank kekal disokong dengan baik oleh struktur pendanaannya yang sihat seperti yang ditunjukkan dalam nisbah pinjaman kasar kepada dana dan ekuiti sebanyak 80.7% pada akhir Mac 2022," katanya.

 

Sementara itu, Hong Piow berkata, daya tahan kumpulan itu terus diperkukuh dan ia kekal dalam keadaan baik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam ekonomi pasca pandemik pada masa hadapan.

 

"Kumpulan akan kekal teguh dalam meneruskan strategi perniagaannya, meningkatkan kecekapan kos dan mengekalkan kualiti aset yang unggul untuk menyokong pertumbuhannya yang mampan,” katanya. - DagangNews.com